Manfaat air sumber alam semula jadi

KUALA LUMPUR – Selepas air galian dan air minuman biasa, pengguna di negara ini mempunyai pilihan pula untuk menikmati ‘air hujan botol’ yang dirancang dipasarkan sekitar tahun hadapan.

Usaha membotolkan air hujan sebagai air minuman berbungkus (AMB) ini adalah sebahagian daripada inisiatif  berterusan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) untuk memanfaatkan air sumber alam yang selama ini tidak begitu dipedulikan.

AMB yang dihasilkan daripada air hujan terawat pertama di Malaysia, menggunakan dua jenama iaitu  CloudRain dan Raindrop.

Buat masa ini produk air hujan terawat ini boleh didapati di NAHRIM yang digunakan ketika majlis-majlis rasmi.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan, Unit Sumber Air,  Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim NAHRIM,  Ir Marini Mohamad Ideris, AMB melalui pelbagai kajian dan penyelidikan dan mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 September  2018 untuk dikomersialkan.

Pegawai Penyelidik Kanan, Unit Sumber Air, Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Ir Marini Mohamad Ideris. – Bernama
Proses perawatan dan pembotolan air hujan perlu melalui beberapa peringkat proses tertentu bagi menjamin kualiti dan piawaian yang ditetapkan. – Bernama
Air hujan akan dituai dan disaring menggunakan filter first flush dan disalurkan ke dua tangki penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga 2,000 liter setiap satu. – Bernama

Beliau berkata idea asal projek ini  diilhamkan oleh bekas Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Ir Ahmad Jamalludin Shaaban sejak 2014.

Ahmad Jamalludin, kata beliau, mahu kajian dilakukan bagi melihat potensi kegunaan air hujan sebagai air minuman yang boleh dibotolkan dan dikomersialkan.

Proses bermula dengan penuaian air hujan yang dilakukan di dua buah lokasi membabitkan kawasan pedalaman dan kawasan bandar.

“Kami memilih melakukan penuaian air hujan di kawasan hutan simpan di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang dan satu lagi di NAHRIM sendiri iaitu di Sri Kembangan,Selangor. Tujuannya untuk melihat perbezaan kualiti air hujan yang turun di kawasan pedalaman dan di bandar.

“Memang terdapat perbezaan kualiti air hujan pada dua buah lokasi ini yang mana air hujan di Kuala Tahan kualitinya lebih baik dan semula jadi dengan julat pH 6.0 ke 7.0, berbanding  air hujan di NAHRIM yang lebih berasid dengan julat pH antara 4.4 hingga 5.6,” katanya kepada media dalam wawancara di NAHRIM baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, proses perawatan dan pembotolan air hujan ini perlu melalui beberapa peringkat proses tertentu bagi menjamin kualiti dan piawaian yang ditetapkan.

Proses bermula dari bumbung tadahan ke tangki pengumpulan, penyaluran air hujan dari tangki pengumpulan ke tangki simpanan (dalam inkubator), pengepaman air hujan ke rawatan penapisan, rawatan ultra violet, dan proses pembotolan dan pelabelan.

Proses penuaian air hujan

Bercakap lebih lanjut mengenai pengumpulan air hujan di Kuala Tahan, Marini berkata, proses mengumpulkan  air hujan di Kuala Tahan lebih rumit kerana setelah dikumpulkan ia perlu dihantar ke pusat inkubator di NAHRIM untuk pemprosesan dan rawatan.

Satu kawasan tadahan dibina di Kuala Tahan dengan menggunakan  bumbung  yang direka bentuk khas seperti payung  yang diperbuat daripada kanvas dengan keluasan 36 meter persegi.

Air hujan akan dituai dan disaring menggunakan  filter first flush dan disalurkan ke dua tangki penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga 2,000 liter setiap satu. Ia kemudian dimasukkan ke dalam tangki untuk menjalani proses penapisan berteknologi micro nano carb sebelum disalurkan ke tangki pengumpulan.

“Kemudian baharu air hujan yang dikumpul dipam ke dalam tangki pengumpulan mudah alih sebelum diangkut menggunakan lori  untuk dibawa ke NAHRIM,” jelas Marini.

Sementara itu, proses tuaian air hujan di NAHRIM pula dilakukan di bumbung Surau Taqi Al-Din di dalam kawasan NAHRIM. Bumbung tersebut diperbuat daripada kanvas dengan keluasan 168 meter persegi.

Air hujan yang dituai kemudiannya disalurkan ke dalam dua tangki pengumpulan.

“Air hujan  akan disaring dengan first flush serta filter first flush. Air hujan dari tangki pengumpulan akan dipam ke dalam tangki pemprosesan untuk ditapis dengan micro nano carb sebelum dialir turun melalui graviti ke dalam tangki penyimpanan di inkubator,” katanya.

Proses penapisan di inkubator

Beberapa  proses sebelum pembotolan dan pelabelan perlu dilakukan bagi memastikan  kualiti  air hujan  yang diproses menepati piawai minimum yang ditetapkan oleh KKM.

Marini yang telah enam tahun berkhidmat dengan NAHRIM berkata air hujan yang dikumpul perlu melalui tiga peringkat proses penapisan iaitu melalui penapisan mikro, penapisan karbon dan penapisan ultra bagi memastikan partikel halus, mikrob dan virus dapat disingkirkan.

Bagi penapisan mikro, ia perlu kurang daripada 3.0 mikron  (menapis bahan terampai yang hadir di dalam air hujan yang bersaiz antara 0.1 to 10 mikrometer), manakala penapisan ultra perlu kurang 0.01 mikron (menapis sebarang partikel yang hadir dalam air hujan yang melebihi 0.01 mikrometer termasuk bakteria dan virus yang mengakibatkan penyakit.)

Secara amnya, purata saiz bakteria adalah 0.2 to 2 mikrometer dan purata saiz virus is 0.02 to 0.3 mikrometer.

Penapisan karbon pula, mengurangkan keasidan air hujan dan menyingkirkan benda asing daripada air hujan dengan cara penjerapan. Ia juga berfungsi untuk menyingkirkan klorin, kloramina, sebatian organik meruap dan pencemar yang yang memberi kesan kepada warna, bau dan rasa air hujan.

Ini untuk memastikan air hujan adalah tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh KKM iaitu di antara pH 6.5 – 8.5, katanya.

Menurut Marini, selain itu, penapisan terakhir bagi memastikan mikro organisma berbahaya seperti E-Coli disingkirkan dan dimatikan, proses penapisan Ultra Violet (UV) sebanyak dua peringkat dijalankan dalam proses perawatan air hujan ini.

Penapisan UV ini berfungsi untuk menyingkirkan kebanyakan jenis bahan  cemar mikrobiologi seperti bakteris, virus dan protozoa dalam air hujan. Beliau menjelaskan, proses yang dijalankan dapat mengawal bau dan harmoni rasa air hujan yang dirawat.

“Tidak ada bahan kimia yang digunakan bagi merawat air hujan sebaliknya hanya menggunakan kaedah penapisan dan dilakukan secara natural mengikut piawaian dan standard KMM agar air selamat diminum,” katanya.

Setelah semua proses selesai baharu ia dibotolkan dan dilabelkan dengan jenama yang dipilih.

Bagi sumber air hujan  yang diambil di Kuala Tahan, dijenamakan dengan Raindrop dan air hujan yang dikumpulkan di NAHRIM dijenamakan dengan CloudRain.

Pelan pemasaran

Menurut Marini, setelah kajian ini selesai, pihaknya kini adalah dalam peringkat awal untuk mengkomersialkan produk air hujan terawat di pasaran.

Perancangan pelan perniagaan dan pencarian rakan startegik sedang berjalan dan kita berharap pada 2021, produk ini akan berada di pasaran.

“Air hujan terawat ini agak eksklusif dan premium kerana itu ia tidak boleh disamakan dengan air minuman botol lain yang ada dipasaran.

“Unik dan istimewanya air hujan  kerana ia mempunyai kelebihan yang berbeza berbanding dengan sumber air lain kerana ia merupakan salah satu sumber air paling tulen yang ada.  Ia juga mempunyai pH yang hampir neutral dan bebas daripada produk sampingan, garam, mineral, dan bahan cemar semula jadi dan buatan manusia yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, NAHRIM juga perlu membuat perancangan teliti supaya produk yang akan dikeluarkan dapat memenuhi permintaan dan bekalan apabila dipasarkan memandangkan hujan bukan turun sepanjang masa. – Bernama