Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaat berurut selepas bersalin

    Bagi wanita yang pertama kali melahirkan anak, mungkin belum biasa dengan rutin pemulihan tradisional yang antaranya melibatkan urut bersalin.

    Sehingga kini, urut bersalin masih diamalkan kerana manfaatnya yang begitu banyak.

    Sungguhpun kajian secara saintifik tidak banyak yang dijalankan secara terperinci tentang urut bersalin, namun kebanyakannya menunjukkan hasil positif dan selamat.

    PantangPlus.com telah mengongsikan antara kebaikan dan kepentingan urut bersalin yang patut diketahui oleh para ibu.

    Melegakan rasa sakit badan

    Proses mengandung dan bersalin adalah proses yang amat memenatkan, Ia banyak memberi tekanan pada bahagian tubuh terutamanya bahagian bawah abdomen, belakang, dan pinggang.

    Sejurus selepas bersalin, anda masih terus mengerahkan tenaga untuk menjaga serta menyusukan anak damit.

    Sesetengah posisi menyusu badan boleh menjadikan tubuh anda sakit dan tidak selesa pada awalnya.

    Urut bersalin dapat membantu anda untuk bersantai dan melegakan rasa sakit yang dialami seperti lenguh, pening, sakit otot, sengal urat, dan lesu.

    Melancarkan perjalanan darah

    Urutan lembut pada seluruh badan juga mampu melancarkan lagi perjalanan darah di samping membantu membuang toksin dalam badan.

    Dengan teknik yang betul, ia juga dapat mengeluarkan darah beku yang terperangkap di dalam rahim dengan berkesan.

    Menggalakkan pengeluaran susu ibu

    Banyak petua orang dulu-dulu mempercayai bahawa urut bersalin amat berkesan untuk mengatasi masalah kurang susu badan atau puting tersumbat.

    Dari satu sudut, ia dilihat ada benarnya kerana pengeluaran susu ibu boleh terjejas akibat tekanan.

    Apabila berurut, tubuh akan menjadi kurang tertekan dan secara tidak langsung ia membantu proses penghasilan susu ibu dengan lebih efektif.

    Selain itu, sentuhan juga membantu rembesan hormon oksitoksin yang mencetuskan let down reflex, lalu menggalakkan produksi susu ibu daripada puting payudara.

    Mencegah tekanan selepas bersalin

    Seperti yang disebutkan di atas, urutan dapat membantu anda lebih berasa santai.

    Selain disebabkan oleh sentuhan, aroma daripada minyak herba juga membantu deria anda untuk berasa lebih tenang dan segar.

    Apabila kurang tertekan, anda akan lebih yakin mengurus anak damit dan mampu untuk menjaga kesihatan diri dengan baik. Dengan ini, risiko meroyan atau postnatal depression dapat dikurangkan.

    Mengembalikan bentuk tubuh

    Seperti yang kita sedia maklum, urutan dapat membantu untuk memecahkan lemak yang terkumpul bagi membantu proses kehamilan.

    Selalunya, urut bersalin akan disertai dengan pemakaian bengkung yang akan membantu mempercepatkan lagi pemulihan serta mengembalikan bentuk tubuh yang asal.

    Memberi peluang ibu dimanja

    Setelah seharian mengurus dan menyusukan anak damit dalam tempoh berpantang, setentunya ibu akan berasa lega apabila diberi sedikit masa untuk berehat.

    Ketika inilah ibu dapat mengadukan sebarang kesakitan, meminta nasihat, berbual-bual, atau menenangkan fikiran tanpa perlu memikirkan anak damit yang menangis.

    Mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin

    Selain begitu banyak manfaat yang diperolehi sama ada secara fizikal mahupun mental, urut bersalin mampu mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin.

    Umumnya, urutan selepas bersalin adalah selamat untuk semua wanita. Namun, seeloknya wanita yang bersalin secara pembedahan perlu menunggu sehingga 12 ke 14 minggu sebelum memulakan sebarang rutin urutan.

    Pastikan luka anda telah sembuh dan anda boleh berbaring dengan selesa semasa urutan bersalin dijalankan.

    Dapatkan tukang urut yang bertauliah dan berpengalaman untuk mengelakkan sebarang risiko. Jika ragu-ragu tanyakan pendapat doktor atau jururawat sebelum berurut. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda