Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Manfaat ilmu jadi pemimpin berkebolehan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Peserta Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diseru untuk memanfaatkan ilmu dan latihan yang diperoleh agar menjadi seorang pemimpin yang berkebolehan serta mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan ancaman sekuriti yang sentiasa berubah.

    Seruan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Maktab Turus ABDB ke-12 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, hari ini.

    Beliau seterusnya menyatakan, kepentingan latihan dan pendidikan sebagai sebahagian daripada keperluan keupayaan pertahanan strategiknya, yang memastikan kompetensi asas pasukan tempur kekal relevan serta bersedia untuk menangani cabaran masa kini dan pada masa hadapan telah diketengahkan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021.

    Dalam hubungan itu, katanya lagi, kursus tersebut merupakan salah satu platform dalam membangunkan pemimpin profesional untuk menjadi mantap secara intelektual dalam menghadapi ketidaktentuan dalam persekitaran sekuriti yang semakin berubah.

    Beliau turut menyatakan bahawa adalah amat penting untuk melengkapkan para pemimpin apabila mereka mencapai pelantikan strategik pada masa hadapan.

    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Maktab Turus ABDB ke-12 yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, kelmarin.
    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak menyampaikan Anugerah RBAF CSC Overall Excellence kepada Mejar Jonathan Edward D’Cruz.

    Pada majlis itu, seramai 42 orang pegawai telah menamatkan kursus berkenaan yang berjalan selama 40 minggu dengan sijil disampaikan oleh Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak.

    Beberapa anugerah penghargaan turut diberikan kepada para peserta kursus di mana Anugerah RBAF CSC Overall Excellence dan Anugerah Academic Excellence diberikan kepada Mejar Jonathan Edward D’Cruz daripada Angkatan Bersenjata Republik Singapura; Anugerah RBAF Commendation diberikan kepada Dayang Nur Khadijah binti Ramli dari Kementerian Pertahanan serta Anugerah Commandant’s Award kepada Mejar Abdul Aziz bin Haji Razali dari Tentera Darat Diraja Brunei.

    Para peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan akan diberikan kelulusan UBD Graduate Diploma in Defence and Security Studies serta berpeluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Defence and Security Studies di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Para peserta kursus terdiri daripada pegawai-pegawai dari ABDB, PPDB, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) serta 15 orang peserta antarabangsa dari 12 buah negara iaitu Australia, Republik Rakyat Bangladesh, Republik India, Republik Indonesia, New Zealand, Malaysia, Kesultanan Oman, Republik Islam Pakistan, Republik Filipina, Arab Saudi, Republik Singapura dan United Kingdom.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, Timbalan Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, perwakilan daripada kedutaan luar negara di Negara Brunei Darussalam, Penolong Naib Canselor UBD, pengarah-pengarah, atase dan penasihat pertahanan yang menetap dan tidak menetap di Negara Brunei Darussalam, komandan-komandan, timbalan pengarah JKDN, ahli-ahli fakulti UBD dan pegawai-pegawai kanan ABDB.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...