Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Manfaat IOT dalam industri minyak dan gas

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Dynamik Technologies

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) telah membantu untuk membawa perkembangan yang besar dalam teknologi digital dan teknologi yang pesat bergerak itu merupakan satu perubah permainan serta akan membentuk masa hadapan banyak industri di mana industri minyak dan gas juga tidak terkecuali.

    Pendigitalan bukannya sesuatu yang baharu dalam industri minyak dan gas yang mana ia bermula seawal 1959 di mana sistem komputer kawalan industri pertama diperkenalkan buat kali pertama di Texaco Port Arthur Refinery, Texas.

    Sejak itu, pendigitalan dan inovasi teknologi dalam industri minyak dan gas terus berubah di seluruh dunia termasuk di Brunei Darussalam dalam bergerak ke hadapan menuju masa hadapan yang membolehkan industri untuk meraih manfaat daripada peningkatan kecekapan serta prestasi yang menyaksikan pengurangan kos operasi dan memperbaiki prestasi keselamatan.

    Ini termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengerudian pintar, telaga pintar, kemudahan serta ladang pintar yang membolehkan pemantau jarak jauh sepanjang masa, jelas Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga dan Pengarah Urusan Interim Petroleum Authority Brunei Darussalam, Haji Azhar bin Haji Yahya dalam ucapannya semasa Bengkel Pendigitalan bagi Industri Tenaga bertajuk Transforming the Digital Future of Energy, yang diadakan secara maya, hari ini.

    Beliau berkata bahawa sebagai sebahagian daripada pembaikan berterusan dalam kaedah bekerja, terdapat lebih banyak peluang untuk memanfaatkan lagi kaedah pendigitalan dalam industri minyak dan gas.

    Haji Azhar menyampaikan ucapan semasa bengkel berkenaan yang diadakan secara maya.
    Antara yang menyertai Bengkel Pendigitalan bagi Industri Tenaga bertajuk Transforming the Digital Future of Energy, yang diadakan secara maya.

    Sebagai contoh, jelasnya, platform digital (protokol) terbuka di mana data daripada sumber-sumber yang berlainan dapat dipusatkan dan ia akan mempercepatkan pengerakan data daripada lokasi medan yang terpencil kepada pakar-pakar untuk dianalisis lanjut. Ia akan membantu dalam membuat keputusan cepat dengan data segera yang lebih lengkap.

    Dengan adanya data segera dan memanfaatkan Internet of Things (IOT) industri, ia akan membuka laluan bagi kesaling-hubungan yang lebih baik di mana ia akan mengurangkan keperluan logistik yang merupakan satu isu dengan keberadaan tenaga manusia pada masa ini serta sekatan COVID-19 dan pada masa yang sama, akan mengurangkan pendedahan risiko bergerak ke pelantar terpencil khususnya semasa musim monsun.

    Namun begitu, jelas Haji Azhar lagi, terdapat juga cabaran-cabaran yang perlu dihadapi di mana jika data yang datang itu tidak diurus dengan betul, ia boleh menjadi terlalu banyak sehingga ia akan membebankan para pakar untuk mendapatkan nilai tambah daripada data berkenaan dan akan mengurangkan nilai data segera berkenaan.

    Semua itu, akan memberikan kesan kepada operasi, ulasnya lagi. Sementara itu, dalam norma baharu yang beralih kepada komunikasi terbuka, ia akan mengundang serangan berniat jahat khususnya dalam bentuk serangan siber di mana kita telah menyaksikan banyak industri mengalami pengalaman itu termasuk industri minyak dan gas.

    Dengan pengendalian operasi minyak dan gas yang terperinci termasuk cecair volatil dan gas bertekanan tinggi, kesan daripada serangan siber kepada sistem automasi boleh mempunyai impak yang besar kepada gangguan operasi serta boleh membawa kepada kesan-kesan keselamatan.

    Sehubungan itu, tekannya, mana-mana penyelesaian digital perlu dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan siber yang mantap bagi memastikan integriti sistem sambil memastikan kelangsungan perniagaan.

    Sekuriti siber perlu dimasukkan dalam perangkaan dan penggubalan strategi transformasi digital di mana ia bukannya dianggap sebagai satu renungan supaya dapat menangani ancaman yang cepat berubah.

    Dengan pandemik yang memperkenalkan peringkat risiko yang baharu, kita perlu memanfaatkan langkah-langkah proaktif dan reaktif bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta untuk menghargai manfaat persaingan penyelesaian digital, tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...