Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Manfaat lebihan kayu reka jam

    Oleh Amri HTZ

    Menjayakan pelbagai projek pertukangan setentunya sesuatu perkara yang amat memuaskan terutamanya jika barangan terjual mendapat keuntungan.

    Hasil daripada rekaan juga dapat dijadikan kenangan dan kepuasan perekanya terutama apabila sesuatu rekaan itu tetap utuh dan dijaga dengan baik.

    Untuk tidak membazir dan memakan belanja mahal dalam mereka sesuatu projek itu, lebih baik gunakan semula lebihan kayu daripada projek sebelumnya untuk mereka sesuatu.

    Apakah yang perlu disediakan?

    Untuk projek menggunakan lebihan kayu daripada projek sebelumnya bagi menghasilkan sesuatu yang baharu, pastikan awda menyediakan barangan seperti mesin pemotong kayu, kayu pelbagai saiz dan warna, gam kayu, ketam kayu, empat batang kayu berukuran 2” x 2”, papan lapis, pita perekat, pensel penanda, mekanisme jam, mesin router, gerudi, sekeping kertas berukuran besar, pisau utiliti dan mesin jig.

    Buat langkah rekaan berhati-hati

    Kayu-kayu lebihan yang tersedia terlebih dahulu dibersihkan daripada sebarang bentuk lebihan gam hasil projek sebelumnya.

    Susun kedudukan kayu perlu ditandakan sebelum membolehkan awda menyapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam kayu.
    Bingkai yang dihasilkan daripada kayu 2” x 2” dijadikan sebagai panduan dan untuk mengekalkan susunan kayu pada kedudukannya.
    Kedudukan masa untuk jam yang telah ditandakan kemudian disemburkan dengan cat berwarna hitam dengan permukaan rekaan perlu ditutupi menggunakan pita perekat.
    Ruangan untuk mekanisme jam yang direka menggunakan mesin router.

    Ini bagi memastikan kayu yang akan dipotongkan dengan ukuran diperlukan dapat dilakukan dengan sempurna iaitu mempunyai sudut potongan 90 darjah.

    Jika material tidak dapat diletakkan rata pada permukaan utama mesin pemotong kayu, ini setentunya akan menghasilkan potongan yang senget.

    Gunakan pahat kayu untuk membuangkan gam-gam yang terdapat pada permukaan kayu tersebut.

    Setelah kayu dibersihkan, baharulah awda boleh memulakan langkah pemotongan dengan menetapkan rip fence dengan jarak 1” dari bilah pemotong.

    Setelah itu sorong perlahan kayu lebihan berkenaan menggunakan push stick untuk menghasilkan strip kayu dengan lebar 1 inci.

    Strip kayu dengan lebar 1” ini kemudiannya akan dipotong lagi bagi mendapatkan kayu berbentuk 1” x 1” menggunakan langkah sama tanpa perlu mengubah kedudukan rip fence alat pemotong kayu.

    Bagi panjang kayu pula, terdapat tiga ukuran dalam projek ini iaitu 1”, 2” dan 3”. Untuk itu awda perlu menetapkan kedudukan fip fence dengan jarak tiga jarak berbeza (ukuran yang telah diberikan) dari bilah pemotong.

    Ketika menyorongkan kayu, memandangkan material yang dipotong berukuran kecil dan memerlukan kestabilan ketika dipotong, pastikan awda menggunakan alat crosscut sled.

    Selain memudahkan langkah pemotongan, ia juga memastikan keselamatan awda semasa melakukan pemotongan sama ada berbentuk kick back dan sebagainya.

    Jumlah keseluruhan kayu yang diperlukan adalah tertakluk pada besar rekaan yang diperlukan untuk menyesuaikannya dengan ruangan di mana ia diletakkan nanti. Projek ini akan memerlukan awda untuk menyusun blok-blok kayu pada permukaan kerja membentuk segi empat berukuran 18” x 18”.

    Susunan ini akan membolehkan awda mendapatkan bentuk kasar rekaan sebelum menetapkan kedudukannya menggunakan gam kayu.

    Dalam memberikan kelainan pada rekaan, pada bahagian tengah rekaan, terdapat ruangan kosong yang akan ditinggalkan.

    Caranya amat mudah, susunan blok-blok kayu yang telah dilakukan sebelumnya hanya perlu dikeluarkan daripada kedudukannya kemudiannya ditandakan agar tidak berlaku kekeliruan akan kedudukannya nanti.

    Selain itu bagi memastikan kedudukan susunan blok-blok kayu kekal pada kedudukannya, bahagian keseluruhan sisinya akan dikawal menggunakan bingkai yang terbuat daripada kayu 2“ x 2” disediakan.

    Dengan cara ini, ia memudahkan lagi proses menyapukan gam kayu permukaan cantuman tanpa perlu khuatir akan kedudukannya.

    Apabila kesemua permukaan kayu telah disapukan dengan gam, kekalkan kedudukan bingkai menggunakan skru pada permukaan meja kerja.

    Bingkai yang mengawal susunan kayu perlulah ditetapkan dengan ketat bagi mengekalkan kedudukan susunan blok kayu ketika mengering.

    Setelah dibiarkan mengering selama 24 jam, awda boleh beralih ke langkah seterusnya iaitu memotong cantuman kayu berkenaan dengan bentuk bulat menggunakan mesin jig.

    Namun sebelum itu tandakan permukaan rekaan menggunakan pensel sama ada menggunakan stensil daripada kertas, mahupun menggunakan tali yang diikat pada pensel dengan bahagian hujung tali yang satu lagi ditetapkan pada bahagian tengah rekaan menggunakan paku.

    Mekanisme jam yang diletakkan pada bahagian belakang rekaan akan ditempatkan ke dalam ruangan khusus direka menggunakan mesin router.

    Mula-mula ukur besar mekanisme jam diikuti dengan ketebalannya.

    Setelah itu lakar pada permukaan kayu bentuk mekanisme jam tersebut diikuti dengan menetapkan kedalaman mata pemotong pada mesin router.

    Perlu diingatkan, ruangan ini perlulah berada pada bahagian tengah rekaan, untuk itu ukur dan tandakan kawasan sebelum melakukan proses rekaan.

    Selesai merekanya, keseluruhan permukaan rekaan akan digosok menggunakan kertas pasir.

    Selain berfungsi untuk membuangkan lebihan gam kayu, langkah tersebut juga bertujuan untuk melicinkan permukaan sebelum wood finish boleh disapukan pada permukaannya.

    Ini diikuti dengan menempatkan besi penggantung pada bahagian belakang yang ditetapkan menggunakan skru.

    Menggunakan wood finish jenis stain agak kurang digalakkan dalam projek ini.

    Ini kerana ia akan menjejaskan warna kayu yang berlainan warna digunakan pada rekaan yang menjadi keunikan untuknya.

    Cukup menggunakan varnis ataupun lakuer bagi menimbulkan ira-ira kayu di samping melindunginya.

    Bagi mendapatkan permukaan yang sangat berkilat, lapisan pertama lakuer yang disemburkan atau disapukan, perlu digosok semula menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit setelah ia kering.

    Bersihkan permukaan menggunakan pembersih alkohol dan ulang semula proses pengecatan untuk lapisan kedua dan ketiga.

    Langkah yang dilakukan sedemikian mampu memberikan permukaan rekaan yang berkilat dan menarik.Membiarkan lakuer mengering selama 24 jam, langkah seterusnya ialah menempatkan mekanisme jam pada bahagian belakang rekaan.

    Memandangkan bahagian latar rekaan yang mengelap, sesuaikan kawasan di mana ia hendak diletakkan dengan pencahayaan yang baik.

    Rekaan unik dan mencabar untuk direka ini setentunya berhasil memanfaatkan bara- ngan lebihan daripada projek sebelumnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...