Manfaat masa lakukan aktiviti positif di kala pandemik

Oleh Nurdiyanah R.

Di saat kita berdepan dugaan mencabar diri dan jiwa dalam memerangi wabak COVID-19, pastinya banyak cabaran dihadapi pada waktu ini kerana secara tiba-tiba gaya hidup berubah dengan sekelip mata.

Tidak kiralah dia seorang penjawat awam, pengusaha, pendidik, pelajar, suri rumahtangga mahu pun para pesara sekali pun, keresahan, kesedihan dan ketidaktentuan setentunya ditafsirkan secara berbeza bagi setiap individu. Hal ini kerana masing-masing ada dugaan dan tanggungjawab yang perlu dihadapi dalam kehidupan sehari-hari.

Cabar diri ke arah kegiatan positif

Sebagai usaha yang berterusan untuk membendung gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini, memaksa langkah-langkah pengawalan diperketat semula.

Seperti mana yang diuar-uarkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai arahan untuk ‘teranah tah di rumah’, membuatkan rakyat dan penduduk di negara ini menyahut seruan kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko jangkitan.

Berikutan dengan perintah tersebut, maka perlunya setiap lapisan masyarakat sentiasa menyemai minda yang positif dengan berusaha mengisi kehidupan dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Berada di rumah atau kediaman masing-masing bukanlah alasan untuk kita bersikap malas. Ini kerana sudah menjadi tanggungjawab selaku ibu bapa mahu pun penjaga untuk mengisi masa lapang dengan bijak supaya masa tidak disia-siakan begitu sahaja bersama anak-anak.

Dalam menjalani cabaran hidup ketika ini, kita juga perlu sentiasa memohon kepada Allah agar ujian dan musibah yang melanda dunia dan negara ini akan segera terhapus.
Anak-anak perlu dididik berdasarkan pemikiran bahawa masa yang terluang bukanlah bermaksud hanya menikmati keseronokan semata-mata tanpa adanya pengisian ilmu pengetahuan yang berguna.
Salah satu cara untuk menghilangkan rasa bosan namun tetap berada di rumah adalah dengan melakukan sesuatu yang baharu seperti berkebun secara hidroponik.
Hakikatnya, terlalu banyak kegiatan yang dapat diterokai oleh seisi keluarga, salah satunya ialah dengan menerapkan amalan 4M iaitu membaca, menulis, melukis dan mewarna. – Gambar fail

Amalan 4M cetus produktiviti insan

Hakikatnya, terlalu banyak kegiatan yang dapat diterokai oleh seisi keluarga, salah satunya ialah dengan menerapkan amalan 4M iaitu membaca, menulis, melukis dan mewarna.

Dalam mengisi masa lapang sebaik-baiknya, para ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam mengatur dan merancang aktiviti bersama anak-anak dengan bijak. Anak-anak perlu dididik berdasarkan pemikiran bahawa masa yang terluang bukanlah bermaksud hanya menikmati keseronokan semata-mata tanpa adanya pengisian ilmu pengetahuan yang berguna.

Dengan kata lain, menelaah buku dan amalan mengulang kaji pelajaran juga perlu dipertingkatkan menerusi aktiviti lain yang menyeronokkan. Bahkan alangkah baiknya jika mereka sentiasa membekalkan diri dengan pelbagai ke giatan yang boleh meningkatkan prestasi diri yang meliputi aktiviti perkembangan minda dan kemahiran.

Lakukan senaman harian dan permainan uji minda

Keluarga yang sihat merupakan tonggak penting dalam melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera dari segi mental dan fizikal. Bagi mencapai kese-jahteraan keluarga, kesihatan dalaman dan luaran adalah penting bagi membolehkan seseorang individu melaksanakan aktiviti harian dengan baik.

Oleh itu, aktiviti sukan ringan bersama ahli keluarga di pagi ataupun petang merupakan salah satu kegiatan yang perlu menjadi amalan agar kekal aktif ketika berada di rumah. Antaranya melakukan aktiviti zumba dan larian mengelilingi halaman rumah untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Di samping itu juga, ketika bersantai di rumah, ahli keluarga juga dapat memanfaatkan masa mereka dengan merangsang minda dengan bermain pelbagai permainan seperti congkak, pasang dan sebagainya.

Mempelajari sesuatu yang baharu

Namun bagi menghilangkan kebosanan di rumah, kita juga dapat mempelajari sesuatu yang baharu seperti belajar alat muzik, berkebun secara hidroponik, menjahit, mendekorasi bilik dan bermacam-macam lagi.

Segalanya mampu didalami secara perlahan-lahan iaitu salah satunya dengan memanfaatkan penggunaan laman internet termasuklah media sosial untuk menimba ilmu pengetahuan yang begitu mudah diperolehi, semuanya berada di hujung jari kita.

Sentiasa berdoa bersama

Dengan adanya variasi aktiviti penuh bermakna sebegini sememangnya suatu langkah yang sangat baik dalam menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam menjalani kehidupan sehari-hari, lebih-lebih lagi di kala berdepan dengan ancaman krisis pandemik ini.

Namun apa yang pasti, sambil kita duduk di rumah, kita juga mampu mewujudkan persefahaman dan kasih sayang sehingga mampu memupuk sifat hormat-menghormati, tolong-menolong, bertolak ansur sekali gus melahirkan semangat kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga. Sambil kita sentiasa memohon dengan kerendahan hati kepada Allah SWT agar ujian dan musibah yang melanda dunia dan negara ini kita akan segera terhapus, marilah kita sama-sama mendidik diri agar sentiasa memanfaatkan rezeki masa yang dimiliki dengan sebaik-baiknya.