Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Ancaman penyakit berjangkit terus menimbulkan risiko seperti yang disaksikan semasa pandemik COVID-19 di mana ia telah memberi kesan kepada komuniti dari segi perspektif sosioekonomi dan kesihatan.
Selain COVID-19, rantau ASEAN juga mengalami kemunculan wabak selesema burung dalam manusia, MERS, Zika dan pelbagai jenis penyakit yang berjangkit.
Persoalan yang harus diketengahkan di ASEAN, adakah kita telah mempelajari daripada COVID-19 dan adakah kita lebih bersedia untuk menangani situasi seperti itu daripada sebelumnya.
“Jika kita gagal untuk bersedia, kita bersedia untuk gagal,” tekan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Abdul Rahman dalam ucapannya di Mesyuarat Jawatankuasa Pandu ASEAN Plus Three Field Epidemiology Training Network (ASEAN+3 FETN) ke-12 yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Beliau berkata aktiviti mempelbagaikan ekonomi telah menyaksikan pergerakan penduduk dan barangan meningkat dengan mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang meningkatkan risiko pengimport penyakit berjangkit yang baru muncul.
Peningkatan aktiviti pertanian bererti kita lebih bimbang dengan penyakit yang mempunyai asal zoonosis dan berhubungan kepada interaksi manusia-binatang, rintangan antimikrob juga merupakan isu sekuriti kesihatan yang serius.
Pada masa yang sama, perubahan iklim bukan sahaja meningkatkan kesan bencana alam tetapi ia juga telah mengubah jangkauan geografi penyakit-penyakit cenderung
epidemik seperti penyakit virus Zika.
Dalam hubungan itu, Dr Hajah Anie Haryani menyatakan kita harus lebih bersedia dan memanfaatkan kesemua teknologi yang ada untuk menangani ancaman serta risiko penyakit berkenaan.
Memainkan peranan yang penting dalam banyak respons COVID-19, tambahnya adalah penggunaan teknologi digital di mana cabaran unik yang dijana oleh pandemik COVID-19 telah menghasilkan keperluan yang baharu serta merubah keinginan untuk menggunakan kesihatan digital.
“Dalam kebanyakan keadaan, peralatan kesihatan digital telah berubah daripada dilihat sebagai satu peluang menarik yang berpotensi kepada keperluan segera yang menyediakan dorongan bagi pembangunan dan penggunaan yang pantas.”
Mesyuarat Jawatankuasa Pandu ASEAN +3 FETN ke-12 yang membawa tema, Memanfaatkan teknologi digital untuk mengukuhkan epidemiologi lapangan, dihadiri oleh delegasi dari kesemua negara anggota ASEAN, delegasi dari negara-negara Plus Three iaitu China, Jepun dan Republik Korea, Sekretariat ASEAN, Pejabat Penyelaras FETN dan rakan-rakan dialog ASEAN+3 FETN.
Mesyuarat itu akan membincangkan mengenai pengalaman yang dipelajari dari COVID-19 dan bagaimana rantau berkenaan dapat menggunakan pengalaman itu untuk bergerak ke hadapan dalam melaksanakan dan menilai kerjasama kesihatan serantau bagi mengukuhkan latihan epidemiologi lapangan.
Jawatankuasa Pandu ASEAN+3 FETN yang merangkumi wakil daripada kesemua 13 buah negara menyediakan hala tuju dan penyeliaan bagi memastikan bahawa rangkaian itu dapat mencapai matlamatnya.