Manfaat transformasi digital, tangani keselamatan siber

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Pelan Induk Digital ASEAN 2025 yang dilancarkan bagi menggantikan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 menggariskan lapan hasil untuk dicapai (Desired Outcomes) dan 37 tindakan (Enabling Actions) yang akan membimbing kerjasama digital ASEAN dari 2021 hingga 2025, dalam merealisasikan visi ASEAN sebagai komuniti digital dan blok ekonomi, dengan perkhidmatan, teknologi dan ekosistem digital yang selamat dan transformatif.

Pelancaran pelan berkenaan adalah antara hasil utama daripada Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama dan mesyuarat berkaitan yang diadakan secara dalam talian selama dua hari, kelmarin dan hari ini.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof telah mengetuai delegasi yang terdiri daripada setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI) semasa mesyuarat-mesyuarat berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MTIC, di sini, Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama telah dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah dan merupakan mesyuarat bagi menteri-menteri digital ASEAN untuk membincangkan dan membuat keputusan ke atas hala tuju kerjasama digital serantau dan bersama rakan-rakan dialog.

Selain pelancaran pelan induk tersebut, Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN juga mengesahkan rangka kerja Pengurusan Data ASEAN (DMF) dan Mekanisme Aliran Data secara Rentas Sempadan ASEAN (CBDF) yang merupakan inisiatif di bawah Rangka Kerja ASEAN untuk Urus tadbir Data Digital.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib semasa Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan MTIC
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa menghadiri mesyuarat tersebut secara dalam talian. – Gambar serahan MTIC

Dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip di bawah Rangka Kerja Perlindungan Data Peribadi ASEAN, inisiatif-inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyelaras piawaian pengurusan data dan aliran data rentas sempadan di rantau ASEAN.

Kenyataan menambah, mesyuarat juga antara lainnya menggariskan kepentingan bagi meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang keselamatan siber. Dari itu, mesyuarat telah mengalu-alukan cadangan bagi meningkatkan kerjasama tersebut di kalangan negara-negara ahli ASEAN dengan pertukaran maklumat melalui Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer ASEAN (CERT). Mekanisme ini akan mendukung pertukaran maklumat dan juga perkongsian amalan-amalan terbaik, serta bagi menyelaras program-program pembangunan kapasiti CERT di rantau ini.

Mesyuarat juga telah mengesahkan dan mengguna pakai Deklarasi Putrajaya dengan tema ASEAN: A Digitally Connected Community yang menuju ke arah pembangunan rantau ASEAN yang bersedia dan dihubungkan secara digital bagi perniagaan dan masyarakat untuk memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan oleh ekonomi digital.

Semasa mesyuarat itu, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga telah mengongsikan keutamaan Negara Brunei Darussalam iaitu transformasi digital sebagai pendekatan utama dalam pemulihan daripada impak pandemik COVID-19 serta ke arah mencapai pembangunan yang berdayatahan.

Keselamatan siber adalah kritikal bagi transformasi digital, yang memerlukan perhatian dan keutamaan yang sangat signifikan dan utama bagi rantau ini. Dengan mengambil inspirasi daripada tema ASEAN 2021, iaitu We Care, We Prepare and We Prosper, transformasi digital dan keselamatan siber mempunyai potensi dan kemungkinan untuk meningkatkan produktiviti, efisiensi dan kualiti kehidupan.

Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama juga mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan dialog iaitu Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, Republik India, Amerika Syarikat dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut, menteri-menteri digital ASEAN menghargai kemajuan dan pembangunan yang telah diraih daripada kerjasama dengan rakan-rakan dialog tersebut.

Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN Pertama telah didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN Pertama pada 19 dan 20 Januari lalu. Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan disertai oleh pegawai-pegawai dari MTIC dan AITI.