Manfaatkan aplikasi Self Assessment Tool

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Susulan kes baharu COVID-19 yang diumumkan kelmarin dan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengingatkan lagi orang ramai supaya menggunakan lagi aplikasi Self Assessment Tool yang telah dilancarkan beberapa minggu lalu.

Ini adalah agar Kementerian Kesihatan dapat mengawal kes COVID-19 dengan lebih berkesan, supaya sekiranya ada kes berjangkit COVID-19, daripada Self Assessment Tool tersebut kementerian boleh memperoleh maklumat dan dapat membuat pengesanan kontak lebih awal.

Yang Berhormat Dato membuat peringatan itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Semasa sesi soal jawab, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa kali terakhir beliau mendapat tahu bahawa lebih kurang 31,000 orang telah menggunakan aplikasi berkenaan dan angka tersebut mungkin lebih tinggi daripada yang dinyatakan tersebut pada masa ini.

Namun beliau berpendapat bahawa jumlah tersebut tidak begitu tinggi, oleh yang demikian orang ramai terutama mereka yang belum menggunakannya digalakkan untuk menghantar penilaian mereka agar Kementerian Kesihatan dapat memantau kes dengan lebih berkesan terutama kes-kes yang baharu diterima dua hari kebelakangan ini, sama ada terdapat orang lain yang terjangkit dan menunjukkan simptom.

“Apabila mereka membuat penilaian diri mereka, kami akan dapat mengetahui siapa diri mereka dan di mana mereka berada. Ia akan membantu kami dalam pengesanan (kontak).

Ini akan meringankan beban Kementerian Kesihatan,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.

Orang ramai boleh menggunakan aplikasi Self Assessment Tool yang telah dilancarkan beberapa minggu lalu dengan telefon pintar supaya mudah membuat pengesanan kontak dengan lebih awal.