Oleh Amri HTZ
SERINGKALI kita melihat botol-botol minuman yang telah kosong akan dibuang tanpa dimanfaatkan. Botol-botol yang dibuang begitu sahaja tanpa melalui proses kitar semula secara perlahan akan memberi impak kepada alam sekitar.
Sebagai masyarakat dunia yang prihatin, kita memainkan peranan penting dalam menyelamatkan alam sekitar daripada pencemaran yang dilakukan oleh manusia sendiri. Selain menyelamatkan alam sekitar, bahan terbuang seperti botol ini boleh kita manfaatkan dalam kehidupan seharian dengan mereka pelbagai jenis ciptaan daripadanya.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka pelbagai jenis projek menggunakan botol terbuang ini, barangan yang diperlukan ialah skru, gunting, pisau pemotong, lilin, botol pelbagai warna (lut sinar), zip, tali pancing, jarum, benang, hot glue gun,lampu, kabel lampu cat pelbagai warna, tali, pen penanda, dawai, mesin gerudi dan manik.
Projek-projek yang dapat dilakukan menggunakan botol
Bagi mereka penggantung pasu daripada botol terpakai, anda perlu memotong botol 1/3 daripadanya menggunakan pisau pemotong atau gunting. Untuk menjadikan penggantung pasu tersebut lebih unik, lakarkan bentuk muka kartun kesukaan anda menggunakan pen marker. Setelah melukiskannya, gunting botol tersebut mengikut lakaran yang dibuat dan warnakan dengan menggunakan cat. Pada bahagian atas, tebuk lubang menggunakan gerudi atau hanya dengan menggunakan pisau pemotong dengan berhati-hati dan ikatkan tali yang disediakan.
Manakala bagi mereka bunga daripada botol terpakai, anda perlu memotong bahagian bawah botol dengan menggunakan pisau pemotong. Botol plastik yang sesuai digunakan ialah bekas botol minuman berkarbonat memandangkan bahagian bawahnya keras bertujuan agar botol dapat menampung gas yang terdapat di dalamnya. Nyalakan lilin yang disediakan dan panaskan setiap hujung bahagian bawah botol dengan menariknya keluar dan menekan kedua-dua sisi (bahagian yang ditarik keluar) dengan menggunakan jari. Lakukan langkah ini sehingga bahagian sisi botol menjadi bentuk kelopak bunga.
Pada bahagian tengah botol, tebuk lubang sebesar 2mm menggunakan mesin gerudi. Bagi memberikan efek bunga yang lebih jelas, lakarkan kelopak bunga (untuk bahagian dalam) menggunakan botol dengan menggunakan bahagian tengah botol dan kemudian potong menggunakan gunting. Tebuk bahagian tengah bunga dan kemudian cantumkan kelopak pertama dan kedua yang telah direka dengan meletakkan manik pada bahagian tengah. Lipatkan dawai pada bahagian hujung dan masukan pada bahagian tengah bunga.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan botol terbuang yang dimiliki dengan menjadikannya sebagai pasu untuk menanam bunga atau pelbagai jenis tumbuhan. Anda hanya perlu membelah separuh daripada bahagian tengah botol dan kemudian menebuk pada kedua-dua bahagian hujung. Ikatkan tali pancing yang bersaiz besar agar ia mampu menampung berat tanaman nanti. pada bahagian bawah botol, tebuk sebanyak dua atau tiga lubang agar air tidak bertakung di bahagian dalam ketika hujan. Teknik ini juga boleh menghiaskan dinding pagar rumah anda selain mempergunakan ruang yang tidak digunakan.
Penggunaan penutup botol juga boleh memberikan kelainan pada dinding pagar rumah anda dengan menjadikannya sebagai satu seni. Penutup botol yang berwarna-warni perlu kekreatifan seseorang untuk menyusunnya menjadikan satu bentuk yang disukai. Dengan hanya menyusun penutup-penutup botol mengikut warna dan melekatkannya menggunakan skru atau gam silikon pada dinding pagar anda akan memberikan kelainan pada ruang tersebut.
Selain itu, bagi mereka tempat menyimpan barang-barang perhiasan diri terutama bagi kaum perempuan, anda perlu memotong empat biji botol pada bahagian bawahnya. Tebuk bahagian bawah lubang sebesar 6-8mm dengan menggunakan gerudi dan pasangkan nat dengan batang besi yang mempunyai benang skru setiap bahagian atas dan bawah potongan botol tersebut.
Bagi mereka langsir perhiasan daripada botol terbuang, anda perlu mengumpulkan botol-botol kosong dengan memotongkan pada bahagian bawahnya.
Tebuk lubang pada setiap empat sudut dan ikatkan setiap lubang di antara lubang bahagian bawah botol yang lain. Lakukan langkah yang sama sehingga anda mencapai saiz yang diperlukan seperti dalam gambar.
Bagi mereka beg kecil untuk menyimpan duit syiling anda, potongkan dua bahagian bawah botol untuk dicantumkan menggunakan zip.
Bagi memudahkan penebukan, gunakan jarum atau dawai yang dipanaskan menggunakan lilin dan tusukkan ke bahagian yang akan dijahit dengan zip. Bagi memastikan zip berada di kedudukan ketika proses menjahit, lekatkan sementara menggunakan hot glue gun.