Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) telah mengadakan Kursus Latihan Fizikal FIFA pada 16 Januari hingga hari ini.
Kursus berkenaan telah disertai seramai 28 ketua jurulatih dan penolong jurulatih tempatan yang dipilih daripada pasukan-pasukan yang menyertai dalam Liga Remaja Bawah 16 Tahun NFABD, yang disokong oleh FIFA.
Bagi menandakan penutupan kursus tersebut, satu majlis penutup telah diadakan pada pagi hari ini di Dewan Serbaguna, NFABD House.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis penutup berkenaan dan juga menyampaikan sijil-sijil kursus kepada para peserta kursus ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif NFABD yang lain, Pemangku Timbalan Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Md Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, serta kakitangan secretariat NFABD.

Kursus tersebut telah dibimbing oleh pelatih penjagaan fizikal FIFA (FIFA Conditioning Instructor), Dr. Magni Mohr yang berasal dari Denmark.
Dr. Mohr adalah seorang jurulatih yang terkenal di dunia dalam kecergasan dan penjagaan fizikal yang menumpukan pada sukan bola sepak.
Kursus Latihan Fizikal FIFA berkenaan termasuk topik teori dan praktikal yang sistematik serta latihan yang melibatkan peserta-peserta kursus.
Antara topik yang dibincangkan adalah latihan aerobik, keperluan fizikal dalam bola sepak, analisis latihan dan beban, fisiologi, kelajuan dan ketangkasan, ketahanan kelajuan, perancangan latihan kecergasan, dan analis perlawanan.
Haji Abdul Razak dalam ucapannya telah berharap bahawa segala ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi melalui kursus yang para peserta lalui akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk diguna pakai bagi membimbing dan melatih pasukan masing-masing.
“Dengan adanya kursus yang biskita ikuti ini, maka akan dapat meningkatkan ‘fitness’ dan fizikal pemain-pemain yang biskita latih,” jelas beliau.
Di akhir ucapannya, Haji Abdul Razak juga menambah: “Dalam usaha Persatuan Bola Sepak Kebangsaaan Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan mutu kejurulatihan bola sepak di negara ini, maka kursus ini diadakan adalah juga semata-mata untuk memantapkan kefahaman kepada semua jurulatih terhadap ‘fitness’ dan fizikal.”
































