Manfaatkan kelapa tua terbuang

Oleh Amri HTZ

Menyebut mengenai air kelapa sebagai minuman, tentunya hanya terlintas ‘kelapa muda’ dalam fikiran seseorang.

Ini kerana jarang sekali terdengar air daripada kelapa tua dijadikan air minuman. Pada kebiasaannya, isi kelapa tua akan diparut dan diperah untuk mendapatkan santan. Air, tempurung dan sabutnya akan dibuang bahkan hanya dijadikan bahan bakar. Melihat kepada manfaat tersembunyi daripada kelapa tua yang sering kali disalah tafsir di mana airnya boleh dijadikan minuman, sabutnya boleh dijadikan medium tanaman dan tempurungnya boleh dijadikan pelbagai kraf tangan, ikuti proses mereka pasu bergantung untuk pelbagai tanaman yang begitu mudah selain sebagai penghias ruangan.

Sedia barangan penting

Mengambil manfaat daripada kelapa tua, projek bagi mereka pasu bergantung terbuat daripada bahan alami ini memerlukan persediaan beberapa barangan seperti beberapa biji buah kelapa, mesin gerudi, mesin sander, tali alami (sama ada diperbuat daripada jalinan rumput, kulit kayu dan sebagainya), parang, pisau kecil dan varnis.

Keunikan tempurung kelapa sebagai pasu

Sebelum memulakan langkah mereka pasu daripada tempurung kelapa ini, langkah pertama adalah mencari buah kelapa tua sama ada yang telah mengeluarkan tunas atau belum untuk dijadikan pasu. Manfaat menggunakan kelapa tua yang belum atau telah mengeluarkan tunas tersebut selain sebagai pasu, isinya juga boleh dijadikan santan kelapa dengan cara memarut dan memerahnya untuk mengeluarkan santan. Selain itu airnya juga boleh dijadikan minuman bermanfaat untuk menghidratkan, membuang panas badan dan sebagainya.

Sementara itu, semasa proses pemilihan, buah kelapa tua yang tidak mengeluarkan bunyi apabila digoncang (cara efektif memastikan kelapa masih dalam keadaan baik) dan tidak mengeluarkan tunas, jenis buah seperti ini menandakan ia telah busuk.

Alat utama yang diperlukan untuk memotong tempurung kelapa.
Proses mengikatkan tali pada bahagian tempurung kelapa yang telah ditebuk.
Isi kelapa yang perlu dikeluarkan dengan cara mengeratnya menggunakan pisau kecil.
Bahagian tempurung kelapa yang perlu ditebuk untuk ruang memasukkan tali.

Ini bukanlah bermakna kelapa yang telah busuk tidak dapat digunakan sebagai pasu, tetapi mengelak bau kurang menyenangkan ketika mengendalikan buah kelapa tersebut selain perlu dibersihkan.

Setelah mendapatkan buah kelapa tua, pilih ukuran yang besar untuk memastikan tempurung di dalamnya bersaiz besar. Ini tertakluk kepada ukuran yang diperlukan dan tema yang hendak dibuat. Jika anda menggunakan tumbuhan yang berukuran kecil, menggunakan tempurung berukuran kecil sudah cukup memadai.

Gunakan parang untuk mengupas kulit kelapa dengan berhati-hati. Ini bagi memastikan keselamatan sendiri selain mengelakkan tempurung kelapa pecah. Walaupun terdapat sedikit keretakan pada permukaan tempurung, ini akan mengakibatkan tempurung dengan sendirinya pecah setelah beberapa lama digunakan.

Selain daripada memanfaatkan tempurung sebagai pasu, sabut kelapa yang telah dikupas daripada buahnya boleh digunakan sebagai campuran medium tanaman. Ini disebabkan ia mampu mengekalkan kelembapan pada tanaman yang begitu diperlukan oleh tumbuhan.

Setelah mengupas keseluruhan sabut pada permukaan tempurung, bersihkan permukaannya menggunakan kertas pasir berukuran 120 grit. Dengan cara ini, lebihan sabut berukuran kecil boleh dibuangkan dengan mudah selain mampu menjadikan permukaan tempurung lebih licin.

Langkah seterusnya adalah memotong bahagian atas (permukaan tempurung bermata tiga) menggunakan mesin pemotong (grinder). Lakukan langkah ini dengan berhati-hati memandangkan bentuk tempurung yang membulat menyukarkannya untuk ditetapkan bagi proses pemotongan. Jika anda memiliki bench vise atau pengapit kayu, menggunakannya akan lebih memudahkan proses tersebut.

Bahagian atas tempurung yang dipotong adalah bagi memudahkan anda membuangkan isi di dalamnya selain untuk mereka ruangan pasu. Dengan menggunakan pisau kecil, kerat isi kelapa secara keseluruhannya dan kopek daripada bahagian luar (tempat mula potongan) hingga ke dalam tempurung.

Setelah membuangkan kesemua isi kelapa tua, cuci bersih tempurung menggunakan air untuk proses menebuk lubang pada permukaannya. Lubang yang perlu direka ini akan digunakan untuk mengikatkan tali alami dan menggantungkannya.

Menggunakan mesin gerudi dengan mata bersesuaian (mengikut ukuran tali yang digunakan) tebuk bahagian mulut tempurung pada tiga tempat berlainan dengan jarak yang sama dengan mengukur diameter tempurung kemudian membahagikan tiga.

Bagi memberikan hasil akhir yang lebih baik, permukaan tempurung perlu disapukan dengan varnis. Selain itu, varnis yang digunakan juga berfungsi untuk melindungi permukaan tempurung agar lebih tahan lama dan kalis air.

Susun tempurung kepala mengikut ukuran di mana yang berukuran lebih besar pada kedudukan bawah, manakala yang lebih kecil di atas (jika anda mengikatkan lebih daripada sebiji tempurung dalam satu jalinan tali). Ini akan menjadikan rekaan nampak seimbang dan teratur.

Dengan mengikatkan tempurung menggunakan tali yang telah disediakan, kini anda hanya perlu mengisikan medium tanaman menggunakan campuran sabut yang dipotong kecil dan tanah organik. Setelah mengisikan satu pertiga daripada ruangan pasu, masukkan tanaman dan penuhi ruang yang ada menggunakan media tanaman sama. Pilih ruangan bersesuaian untuk tanaman digantung, tidak terlalu terdedah atau terlindung dari matahari, yang boleh menghiasinya selain sebagai ‘penyedap mata’ ketika waktu bersantai.