Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Manfaatkan kemahiran jadi sumber pendapatan

    Oleh Nurdiyanah.R

    Tiada siapa yang menyangka, hanya dengan berbekalkan kemahiran dalam pembuatan produk makanan ala Jepun, membuka pintu rezeki Hajah Zaihani binti Haji Jimbol apabila perniagaan takoyakinya terus menerima sambutan yang memberangsangkan.

    “Dengan kemahiran pembuatan takoyaki yang dipelajari daripada adik-beradik suatu ketika dahulu, maka dari situlah saya berhasrat untuk meningkatkan sara hidup sekeluarga dengan sentuhan takoyaki peribadi secara sepenuh masa.

    “Keyakinan diri ini juga semakin kuat demi membantu suami mencari sumber pendapatan sehari-hari sehingga ke detik ini,” ujar Hajah Zaihani yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan beliau yang diberi nama Cheezzee Takoyaki sejak tahun 2014.

    Variasi sentuhan produk takoyaki

    Berbicara mengenai takoyaki, ia merupakan sejenis makanan ringan berbentuk bebola yang diperbuat berasaskan tepung dengan inti isi sotong dan daun bawang yang dimasak menggunakan kuali khas.

    Biasanya takoyaki ini dihias dengan sos takoyaki, mayones dan taburan empingan bonito kering.

    Bagi memvariasikan takoyaki jualannya, Hajah Zaihani turut menghiasinya menggunakan sos keju. – Gambar serahan Hajah Zaihani
    Takoyaki merupakan sejenis makanan ringan berbentuk bebola yang diperbuat berasaskan tepung dan diisi dengan beberapa jenis inti dan daun bawang.
    Acuan memasak takoyaki berbentuk bulat juga diperlukan bagi memastikannya dapat dibentuk menjadi bebola.
    Antara takoyaki yang dihasilkan oleh Hajah Zaihani. – Gambar serahan Hajah Zaihani

    Meskipun makanan berkenaan berasal dari negara Jepun, namun jelas Hajah Zaihani takoyaki kini sudah menjadi kesukaan ramai terutamanya masyarakat tempatan meliputi golongan kanak-kanak, dewasa mahupun orang veteran.

    Pengusaha wanita yang menetap di perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Katok B ini turut mengongsikan beliau juga memvariasikan inti takoyakinya yang kebiasaannya terdiri daripada sotong kepada beberapa jenis inti seperti sosej, ketam dan tuna bagi memenuhi kehendak pelanggan.

    Menyentuh mengenai proses pembuatan takoyaki, Hajah Zaihani menjelaskan ia bukanlah suatu perkara yang rumit memandangkan bahan yang diperlukan juga tidak begitu banyak dan tidak sukar untuk dicari.

    Antara bahan asas yang digunakan ialah telur, tepung gandum, tepung jagung dan stok ayam maka sudah boleh membuatnya. Namun acuan memasak takoyaki berbentuk bulat juga diperlukan bagi memastikannya dapat dibentuk menjadi bebola.

    “Sementara itu, bahan hiasan pula ialah empingan bonito di samping mayones dan sos pekat takoyaki. Segala taburan berkenaan pastinya menambah lagi aroma takoyaki pelbagai pilihan inti tersebut,” jelasnya yang kini berusia 45 tahun.

    Terap jiwa positif dalam keusahawanan

    Hajah Zaihani yang semakin giat menjalankan perniagaannya secara dalam talian berdasarkan tempahan harian dan juga menghantar ke kedai-kedai terdekat, memanjat rasa syukur apabila terpilih untuk mengikuti Program Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) sekitar beberapa bulan lalu yang secara tidak langsung mampu mencetuskan perubahan dan perkembangan dengan nilai-nilai positif sekali gus lebih membuka minda dan mendidik diri untuk lebih berdikari dari semasa ke semasa.

    “Curahan ilmu dan pengetahuan yang diperoleh menyertai program menjurus kepada kemahiran dan pengetahuan keusahawanan yang dikendalikan oleh Yayasan bersama rakan strategik LiveWIRE Brunei.

    “Atas keprihatinan pihak Yayasan itu, secara tidak langsung, saya dapat meningkatkan pemahaman lebih jelas meliputi strategi pengurusan kewangan, pembungkusan produk dan pemasaran,” ujarnya.

    Meskipun mengalami cabaran dari segi kenaikan harga barangan namun ia tidak mematahkan semangat ibu kepada tiga orang anak ini untuk terus bangkit meneruskan perjuangan demi mencari rezeki yang halal.

    “Minat dan rasa cinta itu perlu ada dalam diri kita dalam menjalankan apa jua bidang dalam kehidupan ini. Ia bagaikan pembakar semangat untuk lebih menjalankan atau melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan komitmen yang tinggi.

    “Di samping itu, kita mestilah sentiasa bangkit memajukan diri dalam semua aspek meliputi kemahiran dan juga ilmu pengetahuan menerusi apa sahaja kursus yang ditawarkan demi meningkatkan prestasi diri dan keluarga meskipun persaingan sentiasa ada,” ujarnya yang juga memiliki impian untuk memiliki sebuah tempat khusus bagi menjalankan jualan takoyaki langsung kepada para penggemarnya suatu hari nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...