Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Manfaatkan koleksi syiling ke dalam rekaan

    Oleh Amri HTZ

    Hobi mengumpul wang kertas dan syiling merupakan minat yang universal tanpa mengira jenis mata wang negara asal atau golongan umur.

    Sesetengah peminat mengumpulnya untuk dijadikan sebagai koleksi, manakala ada daripadanya mengharapkan nilainya suatu hari nanti akan melonjak dan dijual semula terutamanya mata wang lama, terhad, nombor siri unik dan sebagainya.

    Seorang peminat tegar pada kebiasaannya akan mendapatkan pada sahaja yang berkaitan dengan mata wang untuk dikumpul bagi memberikan kelainan daripada pengumpul lainnya.

    Barangan yang diperlukan

    Projek DIY kali ini akan mereka tanda nama terdiri daripada syiling satu sen berbingkaikan kayu. Untuk mengikuti langkah merekanya, awda terlebih dahulu perlu menyediakan mesin pemotong kayu meja, gam silikon, beberapa keping kayu, syiling berukuran kecil, mesin Dremel dengan alat buffing, gam kayu, pita pengukur, pensel penanda, papan lapis berketebalan ¼”, kain bersih, pembersih logam, plexiglass, mesin router, mesin gergaji bulat (circular) dan cat sembur berwarna hitam.

    Langkah pembuatan cukup penting

    Bagi langkah pertama pembuatan, kayu yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran yang diperlukan sesuai dengan jumlah abjad yang terkandung dalam nama awda. Namun sebelum memotong kayu-kayu tersebut menjadi bingkai rekaan, awda perlu mendapatkan gambaran keseluruhan ukuran nama setelah syiling disusunkan.

    Bingkai rekaan yang telah dicat dengan warna pilihan namun perlu memastikan permukaan cantuman bebas daripada sebarang cat agar gam kayu yang disapukan melekat.

    Papan lapis dan akrilik yang telah disatukan dan dimasukkan ke dalam goove bingkai yang telah direka.
    Groove yang terdapat pada bahagian bingkai direka menggunakan mesin router sebelum memotongkannya menjadi bahagian-bahagian kecil.
    Proses melekatkan kepingan syiling pada permukaan papan lapis yang telah dicat hitam menggunakan gam silikon.

    Untuk itu awda perlu menyediakan syiling 1 sen dalam jumlah yang banyak dan menyusunkannya pada permukaan kerja dengan bahagian keseluruhan sisi (boarder) mengelilingi abjad terdiri daripada dua barisan syiling.

    Ketinggian rekaan pula akan mengandungi sebanyak 14 keping syiling yang tersusun manakala bagi panjangnya pula tertakluk kepada jumlah abjad pada nama. Lebar setiap abjad akan mengandungi dua kepingan syiling manakala ketinggian pula mengandungi 10 keping syiling. Dengan susunan syiling yang diperlukan ini, akan memudahkan awda mendapatkan gambaran jumlah syiling digunakan sekali gus ukuran keseluruhan bingkai yang akan direka nanti.

    Selain melakukannya secara manual dengan cara menyusun satu persatu syiling membentuk nama, awda juga boleh menggunakan perisian dalam komputer jika tahu menggunakannya. Walaupun memakan masa yang agak lama, namun langkah ini akan memberikan awda ukuran keseluruhan rekaan dan dapat dijadikan sebagai panduan ketika menyusun syiling satu persatu pada bingkai rekaan nanti.

    Melalui projek ini, ukuran keseluruhan rekaan dengan syiling tersusun ialah 23.8sm tinggi x 71.4sm panjang. Perlu diingat, syiling satu sen yang digunakan di sini merupakan mata wang Brunei yang berukuran 1.7mm setiap satu.

    Jika awda menggunakan mata wang berlainan, perlunya mengukur syiling tersebut sebelum menetapkan ukuran keseluruhan rekaan.

    Setelah mendapatkan ukuran keseluruhan rekaan, papan lapis tersedia akan dipotong dengan ukuran tersebut menggunakan mesin gergaji bulat atau gergaji kayu secara manual.

    Salah satu permukaan papan lapis akan dijadikan bahagian depan di mana syiling tersusun yang perlu diwarnakan dengan cat sembur berwarna hitam. Sembur beberapa lapisan cat untuk mendapatkan permukaan bercat yang rata dengan setiap lapisan diberikan masa untuk mengering sebelum memberikan lapisan seterusnya.

    Sementara menunggu cat mengering, masa terluang akan digunakan untuk mereka bingkai yang terbuat daripada kayu. Menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja, tetapkan kedudukan rip fence dari bilah pemotong dengan jarak 4.5sm, sorong kayu dengan perlahan untuk memotongkannya.

    Untuk ketebalan kayu bingkai, ukuran 2.5sm diperlukan dan bagi mendapatkannya, lakukan langkah yang sama sebelumnya bagi mendapatkan lebar kayu. Memandangkan bahagian sisi papan lapis nanti akan dimasukkan ke dalam bingkai, ini memerlukan awda untuk mereka groove dengan lebar 11mm dan dalam lebih kurang 8mm.

    Gunakan mesin router dengan straight bit untuk mendapatkannya. Langkah mereka groove dilakukan sebelum memotong kayu menjadi bahagian sisi kiri dan kanan, atas dan bawah adalah bagi memastikan ia cukup mudah dilakukan ketika ia masih dalam ukuran besar.

    Jika dipotongkan menjadi bahagian-bahagian kecil, ia sedikit sukar untuk dilakukan terutama bagi awda yang tidak memiliki alat bench vise. Selesai mereka groove, langkah seterusnya memerlukan awda memotong kayu menjadi bahagian-bahagian kecil bingkai dengan sudut 45 darjah.

    Dua batang kayu berukuran 25.5sm akan dipotong dijadikan bahagian sisi kiri dan kanan bingkai sementara dua batang kayu berukuran 73.1sm untuk bahagian atas dan bawah. Setelah memotongnya, permukaan kayu akan disemburkan cat dengan warna pilihan namun terlebih dahulu perlu melindungi permukaan cantuman menggunakan pita perekat.

    Langkah seterusnya ialah melekatkan kepingan syiling pada permukaan papan lapis yang telah dipotongkan sebelumnya. Setiap kepingan syiling akan disapukan dengan gam silikon pada bahagian belakangnya.

    Untuk bahagian abjad, setiap syiling akan dijadikan tidak berkilat atau gelap dengan cara merendamkannya ke dalam campuran air cuka. Sementara bagi syiling di sekelilingnya, awda perlu mengilatkannya menggunakan cuka bercampur garam kemudian mengilapnya atau menggunakan pes bersesuaian untuk logam. Setelah selesai menyusunkan setiap kepingan syiling, biarkan gam silikon mengering selama beberapa jam sebelum mengendalikannya untuk langkah seterusnya.

    Manakala bagi memastikan sebarang kotoran seperti habuk melekat pada permukaan syiling ketika rekaan digantungkan nanti, awda perlu memotongkan akrilik sesuai dengan besar papan lapis untuk melekatkan syiling berkenaan. Gunakan mesin circular untuk melakukannya atau hanya menggunakan mesin jig atau gergaji besi.

    Bagi langkah terakhir, kepingan kayu yang telah dipotong untuk dijadikan bingkai akan dicantumkan menjadi satu. Masukkan bahagian sisi papan lapis dengan akrilik terpasang pada permukaan depan ke dalam groove yang telah direka mengikut kedudukan kemudian sapukan gam kayu pada permukaan cantuman sebelum mengetatkannya menggunakan pengepit kayu. Apabila gam mengering, dengan memasang penggantung pada bahagian belakang rekaan, awda kini boleh menempatkannya pada dinding yang dirasakan sesuai untuk mempamerkan rekaan yang cukup menarik tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...