Manfaatkan kuasa fintech

NUR SULTAN, Kazakhstan, 16 Mei – Pengarah Urusan dan Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde menggesa negara Asia Tengah memanfaatkan teknologi kewangan (fintech) bagi memastikan pertumbuhan inklusif dan mapan di kawasan itu.

Beliau berkata hanya 45 peratus golongan dewasa di Caucasus dan Asia Tengah mempunyai akaun bank, hampir 20 peratus lebih rendah berbanding purata di pasaran pesat membangun yang lain.

Selain itu, hanya tiga peratus rakyatnya memiliki akaun wang mudah alih.

Angka ini mendedahkan mengenai sumber besar yang belum diteroka di kawasan ini, katanya.

“Sekiranya Asia Tengah dapat memanfaatkan kuasa fintech, seperti ekonomi pesat membangun di lain-lain kawasan, potensi keuntungan bagi golongan miskin, wanita dan remaja ini sangat besar,” katanya pada ucapan pembukaan di Forum Ekonomi Astana XII 2019 bertema Menggalakkan Pertumbuhan: Penduduk, Bandar, Ekonomi, di sini hari ini.

Beliau juga menggariskan tiga prinsip penting untuk pertumbuhan inklusif.

Bagi dasar fiskal, Lagarde berkata ia seharusnya mengimbangi kebimbangan hutang menerusi inisiatif kritikal dalam bidang kesihatan, pendidikan dan infrastruktur.

“IMF akan terus menyokong kawasan ini menerusi bantuan teknikal dan program pembangunan kapasiti,” katanya.

Beliau juga menekankan mengenai pentingnya untuk menangani rasuah di kawasan ini dengan 2019 merupakan masa yang sesuai untuk meningkatkan ketelusan dan memupuk kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.

“Wanita dan kumpulan yang tidak diwakili, boleh diupayakan menerusi usaha untuk memansuhkan halangan ekonomi dan perundangan,” katanya.

Lagarde berkata di Kazakhstan, menerusi kerja keras kerajaan dan syarikat swasta, penyertaan tenaga kerja wanita kini pada 65 peratus, angka tertinggi di kawasan ini yang juga sebagai penanda aras bagi setiap negara di Asia Tengah.

“Setiap prinsip ini merupakan sebahagian daripada keperluan di kawasan ini untuk mencapai pertumbuhan inklusif yang lebih tinggi,” katanya. – Bernama