Manfaatkan lebihan kayu dimiliki

Oleh Amri HTZ

Memiliki timbunan kayu lebihan daripada projek lain merupakan masalah yang sering dihadapi oleh para pengamal DIY. Sesetengah mereka hanya membuangkan timbunan tersebut atau menjadikannya kayu api namun untuk yang lebih kreatif, setiap kepingan dimanfaatkan bagi mereka projek yang menggunakan bahagian yang kecil. Untuk mengelakkan pembaziran sumber, manfaatkan lebihan kayu untuk mereka perhiasan bertemakan teka-teki dan di luar pemikiran logik.

Persiapan perlu dilakukan

Sebelum memulakan projek mereka perhiasan ini, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti wood oil atau wax, periuk, pita pengukur, mesin gerudi, mesin pemotong kayu, pensel, mata gerudi berukuran 1 ¼” dan 2”, kertas pasir atau spindle sander, bola golf, kayu 2” x 2”, kayu 4” x 4”, ketam kayu dan pahat kayu serta vernier caliper.

Reka satu persatu

Dalam projek ini, dua jenis perhiasan akan direka di mana satu daripadanya mengandungi bola golf di ruangan dalam kayu sementara satu lagi mengandungi kayu berbentuk empat segi dengan ruangan luaran berbentuk bulat.

Untuk langkah mereka kayu berukuran 2” x 2” yang di dalamnya terdapat bola golf, langkah pertama pembuatan adalah meratakan permukaan kayu yang digunakan menggunakan ketam kayu. Ini bagi memastikan keseluruhan permukaan mempunyai ukuran yang sama memandangkan pada kebiasaannya kayu yang terjual tidak mempunyai ukuran yang sama rata. Ketamkan permukaan kayu lebih kurang 0.5mm atau 1mm dengan setiap proses pengetaman diukur agar tidak dibuang secara berlebihan.

Setelah megetamnya, potongkan kayu tersebut dengan panjang 5” menggunakan mesin pemotong mahupun secara manual. Ini diikuti dengan menandakan keempat-empat permukaan kayu menggunakan pensel 3/8” daripada kedua-dua bahagian hujung dan tandakan garisan pada bahagian tengah dari kedua-dua bahagian yang telah ditandakan (juga dilakukan untuk keempat-empat sudut).

Kayu berukuran 2” x 2” perlu ditandakan bahagian tengahnya sebelum proses penebukan.
Proses menebuk menggunakan mata gerudi berukuran 1 ¼” pada bahagian yang telah ditandakan.
Bagi memastikan bola golf dapat dimasukkan ke dalam ruangan kayu, keseluruhan struktur perlu direbus terlebih dahulu.
Ketika proses menebuk kayu 4” x 4” menggunakan mata gerudi berukuran 2”.
Bagi memisahkan kayu berbentuk empat segi di bahagian dalam, bahagian yang masih tercantum perlu dibuangkan menggunakan pahat kayu.

Langkah seterusnya menebuk bahagian tengah kayu keempat-empat sudut menggunakan mata gerudi berukuran 1 ¼”. Penggunaan mesin gerudi jenis drill press sangat disyorkan memandangkan ia sangat mudah untuk digunakan selain cukup tepat. Garisan yang telah ditandakan tadi akan dijadikan panduan untuk menebuk kayu tersebut menggunakan bahagian tengah mata gerudi.

Mulakan proses penebukan pada kedua-dua bahagian hujung kayu (tempat yang telah ditandakan) diikuti pada bahagian yang tengahnya sehinggalah keseluruhan ruangan menjadi rata. Bagi kawasan yang sukar direka (lebihan ruangan), penggunaan pahat kayu akan menyelesaikan masalah tersebut. Setelah itu gosok ruangan dalam kayu menggunakan kertas pasir berukuran 300 grit diakhiri dengan 1,000 grit agar ia lebih halus.

Ruangan yang direka merupakan lebih kecil daripada bola golf. Di sini keunikan rekaan yang menjadi teka teki untuk pemerhatinya yang merasakan ia mustahil untuk dilakukan. Cara untuk memasukan bola ke dalam ruangan kayu yang cukup sempit dilakukan dengan cara merebus struktur kayu kira-kira 30 minit. Ini akan menjadikannya lembut dan membolehkan bola untuk dimasukkan.

Bagi mereka blok kayu yang mempunyai lubang berbentuk bulat tetapi terdapat kayu berbentuk empat segi di dalamnya, kayu berukuran 4” x 4” diperlukan. Tandakan bahagian tengah kesemua empat sudut permukaan kayu menggunakan pensel. Ini diikuti dengan mereka ruangan berbentuk bulat menggunakan mata gerudi berukuran 2” dengan kedalaman 1/16” dengan kadar kelajuan yang perlahan. Pastikan ruangan (bentuk bulat) di keempat-empat sudut pada kedudukan yang sama bagi memastikan kayu berbentuk empat segi di dalamnya mempunyai ukuran sama.

Setelah itu kedalaman ruangan tadi akan ditambah menjadi 2.7sm kesemuanya. Tujuan langkah mem-bentuk kedalaman ruangan dengan dua langkah adalah bagi memastikan tidak terdapat kesalahan yang dilakukan selain kedalaman yang ditetapkan pada langkah pertama bagi memastikan ia pada kawasan yang disasarkan.

Apabila kesemua sudut ditebuk dengan kedalaman yang sama, ini akan meninggalkan sedikit bahagian hujung kayu berbentuk empat segi di ruangan dalam yang masih tercantum dengan struktur asal. Untuk memisahkannya, awda hanya perlu membuangkan bahagian tersebut menggunakan pahat kayu.

Dengan langkah membuangkan bahagian yang masih tercantum tersebut, ini akan meninggalkan kayu berbentuk empat segi pada ruangan dalamannya yang mustahil untuk dikeluarkan.

Dengan ini, ia sekali gus akan menimbulkan tanda tanya kepada para pemerhati bagaimana awda melakukannya di mana ruangan terbuka berbentuk bulat tetapi objek di dalamnya berbentuk empat segi.

Langkah terakhir adalah menyapukan keseluruhan permukaan kayu meng-gunakan wood oil atau wax.

Penulis sangat menyarankan penggunaan pelindung kayu jenis tersebut tanpa penggunaan cat bagi memperlihatkan keaslian permukaan kayu selain ia juga tidak akan menyembunyikan permukaan kayu yang dirasakan ‘dipotong’ untuk memasukan objek di dalamnya.