Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan pemimpin sekolah perlu bekerjasama untuk mempertingkatkan mutu dan keupayaan serta kemahiran tenaga pengajar dalam penggunaan Bahasa Arab sebagai bahasa pengajar dalam pembelajaran.
Ini bagi memastikan para pelajar di sekolah-sekolah Arab mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Arab, sejajar dengan usia penubuhan sekolah Arab yang menjangkau 50 tahun.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menekankan perkara itu dalam ucapan di Seminar ‘Bi’ah Al-Lughah Arabiah Bil Madrasah: Strategi Pengajaran Bahasa Berkesan’ yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama (Arab) Menegah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud
Menurut Yang Berhormat Pehin, JPI bersama pemimpin sekolah perlu mengambil perhatian dalam perkara ini, apatah lagi ia ditekankan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-6 tahun lalu yang menginginkan supaya para pelajar di sekolah-sekolah Arab mampu menuturkan Bahasa Arab dengan lebih baik.

“Para guru dan tenaga pengajar juga perlu menunjukkan kematangan dalam semua aspek terutamanya dalam memberi keutamaan dan fokus terhadap mata-mata pelajaran agama/Arab yang menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar dan juga mata-mata pelajaran umum yang menggunakan Bahasa Inggeris.
“Oleh itu, para guru dan pelajar hendaklah menguasai Bahasa Arab dengan baik sama ada dalam pertuturan mahupun penulisan.
Menurutnya, apa yang diharapkan dalam seminar tersebut agar semua peserta bengkel komited terhadap pengisian yang telah diaturkan dan memanfaatkan pengetahuan pakar-pakar berpengalaman dalam bidang pendidikan Bahasa Arab.
Yang Berhormat Pehin juga berharap seminar itu dapat mencapai objektif yang boleh menjayakan pelaksanaan pendidikan agama yang lebih bersepadu dan berkualiti di sekolah-sekolah Arab dan agama di sini.
Seminar dihadiri lebih 170 orang peserta terdiri daripada para pegawai dari JPI dan tenaga-tenaga pengajar Bahasa Arab dalam seminar tiga hari yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pembentangan kertas kerja dan Bengkel Pengajaran Bahasa Arab diadakan di dalam dewan, manakala aktiviti pembelajaran Bahasa Arab dengan sasaran program untuk pelajar sekolah Arab diadakan di luar dewan.
Ia antara lain memfokuskan peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi memperkasa kemahiran berkomunikasi di dalam Bahasa Arab dalam kalangan pengajar dan pelajar.