Manfaatkan peluang perniagaan

DEZHOU CITY, Shandong, China, 14 April — Perniagaan ASEAN digesa mengambil peluang untuk mengembangkan aktiviti perdagangan dan pelaburan mereka di wilayah utara China, iaitu Shandong, Tianjin dan Hebei susulan pembangunan pesat yang berlaku di kawasan itu.

Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN (Caba) Tan Sri Lim Gait Tong berkata sudah sampai masanya untuk meneroka wilayah tersebut memandangkan kuantiti perdagangan asing yang dicatatkan negara-negara ASEAN dari kawasan itu agak rendah.

“Pada 2018, jumlah kuantiti perdagangan asing di wilayah itu berjumlah hanya 6.36 trilion yuan (hampir AS$1 trilion), tetapi rantau ASEAN hanya merekodkan kira-kira AS$90 bilion (AS$1=RM4.11) tahun lepas,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada Persidangan Ekonomi dan Perdagangan ASEAN-China (Dezhou).

Lim berkata sekiranya perniagaan di ASEAN, termasuk Malaysia, boleh memanfaatkan lagi wilayah utara China itu, ia akan membantu meningkatkan kuantiti perdagangan dua hala dan malahan mencapai matlamat kuantiti perdagangan AS$1 trilion antara China dan ASEAN lebih awal daripada 2025.

Pada 2018, jumlah kuantiti perdagangan dua hala China-ASEAN berkembang 14.1 peratus kepada AS$587.87 bilion daripada 2017.

“Perdagangan ASEAN dengan China tertumpu kebanyakannya di kawasan pesisir pantai China seperti Guangdong, Fujian, Guangxi, Shanghai, Jiangsu dan wilayah selatan lain yang membentuk 80 peratus daripada jumlah perdagangan.

“Alasannya adalah wilayah selatan kebanyakannya adalah kampung halaman kepada diaspora China dari negara-negara ASEAN, ” katanya.

Beliau juga berkata bagi memastikan kejayaan inisiatif ‘One Belt, One Road’ dan mencapai matlamat kuantiti perdagangan dua hala China-ASEAN itu, kedua-dua pihak perlu menggalak dan mengukuhkan keupayaan sumber manusia menerusi latihan dan pembangunan modal insan. – Bernama

Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN (Caba) Tan Sri Lim Gait Tong ketika bercakap pada Persidangan Ekonomi dan Perdagangan ASEAN-China (Dezhou) baru-baru ini. – Bernama