Manfaatkan pembelajaran dalam talian

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Dalam menghadapi gelombang kedua pandemik COVID-19, Kementerian Pendidikan semakin giat melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai usaha berterusan bagi meningkatkan keberkesanan khususnya pembelajaran dalam talian bagi seluruh peringkat pendidikan di negara, sebagaimana menerusi pengalaman negara sejak penularan wabak pada tahun lepas.

Dari segi pengajaran, tenaga pengajar di negara ini telah mengikuti program pembangunan profesional di mana mereka mengikuti latihan kaedah pedadogi secara dalam talian melalui Akademi Perguruan Negara Brunei Darussalam.

Dengan latihan berkenaan, ia dihasratkan bagi meningkatkan kepakaran para guru dalam penggunaan teknologi agar segala pengajaran dalam talian dapat disampaikan dan berjalan dengan lebih efektif.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman berkata sedemikian semasa menjawab soalan dari pihak media pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di negara ini yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa bagi memastikan kesejahteraan para pelajar di negara ini khususnya yang menghadapi masalah dengan pembelajaran dalam talian, dua talian perkhidmatan iaitu Talian Afifah dan Talian Kalinga turut dibukakan sehingga kini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menjawab soalan dari pihak media pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di negara ini yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Tambahnya lagi, bantuan bagi para pelajar yang memerlukan khususnya yang menghadapi cabaran dalam akses kepada peranti termasuklah saluran Internet dan juga komponen bantuan kebajikan pelajar juga dititikberatkan sebagaimana yang telah dilaksanakan pada tahun sebelumnya.

Menyentuh dengan Home Learning Pack, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa ia tidak dapat dilaksanakan pada masa kini disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan namun segala bahan pembelajaran hanya diberikan secara dalam talian seperti menerusi penggunaan komputer riba dan telefon bimbit.

Hal ini, ujar beliau, dilaksanakan bagi menyahut saranan Kementerian Kesihatan agar mengelak berlakunya interaksi bersemuka antara pihak guru dan pelajar mahu pun ibu bapa serta penjaga.

Menurut beliau lagi, pihak kementerian turut bekerjasama dengan UNN bagi menumpukan kepada aspek komunikasi terutamanya bagi menembusi laman-laman sesawang pendidik agar dapat diakses oleh para pelajar dan guru-guru dengan mudah dan cepat.

Dalam pada itu, pendidikan televisyen menerusi saluran Radio Televisyen Brunei turut disediakan sehingga kini dengan hasrat bagi menyokong dan membantu proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Yang Berhormat Dato menambah, pihak kementerian juga mempunyai kerjasama antarabangsa seperti ASEAN dan UNESCO bagi mengakses sumber-sumber dalam talian di mana dalam laman sesawang atau portal Kementerian Pendidikan terdapat pautan-pautan bagi memudahkan tenaga pengajar dan pelajar-pelajar mengakses dan membantu serba sedikit bagi meningkatkan aspek kokurikulum pendidikan negara.

“Pembelajaran dalam talian ini sememangnya termasuk dalam strategi pendidikan negara yang mana akan diintegrasikan dalam format blended learning.

“Hakikatnya, walaupun kita sudah mengatasi COVID-19 yang mana dari segi pendidikan, blended learning akan menjadi salah satu normal baharu dalam pendidikan negara di mana pembelajaran secara bersemuka akan disatukan dengan pembelajaran dalam talian.

“Hal tersebut bermatlamat untuk menggalakkan para pelajar kita untuk lebih menjadi pelajar yang lebih berdikari dan pelajar sepanjang hayat serta lebih kompetitif dalam menimba ilmu dan kemahiran,” ujarnya lagi yang turut berharap semua tenaga pengajar dan pelajar-pelajar untuk terus memanfaatkan pembelajaran dalam talian ini dengan sebaik-baiknya bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran mereka pada masa kini.