Manfaatkan pemberian imunisasi polio percuma

SANDAKAN, 15 JAN – Masyarakat di Sabah sama ada warganegara atau warga asing perlu memanfaatkan pemberian imunisasi penyakit polio secara percuma bagi kanak-kanak di bawah lima tahun.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata pencegahan awal adalah penting memandangkan penyakit itu membawa kepada kelumpuhan yang tidak mempunyai ubat.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan ibu bapa bahawa imunisasi polio ini kita berikan secara dua pusingan dengan pemberian vaksin polio sebagai pusingan yang pertama.

“Ibu bapa perlu membawa anak mereka untuk mendapatkan imunisasi polio pada pusingan kedua seperti yang telah ditetapkan oleh pegawai Jabatan Kesihatan berdasarkan pada kad temu janji masing-masing,” katanya ketika melancarkan Kempen Imunisasi Polio Sabah peringkat daerah Sandakan di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Selain itu, Poon turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan penjagaan kebersihan diri, terutamanya amalan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih setiap kali selepas menggunakan tandas dan menukar lampin anak. “Ini adalah kerana kuman polio boleh berjangkit melalui makanan atau minuman atau benda seperti mainan yang disentuh oleh tangan yang tercemar oleh najis yang ada kuman polio.

“Kita juga perlu menjaga kebersihan kawasan persekitaran dengan amalan pembuangan sampah yang betul dan tidak membuang sampah sesuka hati atau merata-rata,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Christina berkata kempen itu akan diadakan di daerah lain bagi memastikan ramai kanak-kanak mendapat pelalian polio.

Mengenai penularan influenza A, beliau berkata keadaan di Sabah terkawal dan mengingatkan masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan seperti memakai penutup mulut dan hidung dan menjaga kesihatan serta kebersihan. – Bernama