Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Manfaatkan pengajaran daripada COVID-19

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Pandemik COVID-19 telah memberi pelbagai pengajaran yang boleh dimanfaatkan untuk mempersiapkan diri supaya lebih bersedia menghadapi pandemik yang baharu pada masa hadapan.

    Semasa pandemik itu, kita menyaksikan kerjasama yang erat daripada pelbagai kementerian untuk memastikan bukan sahaja kesihatan rakyat dan penduduk dijaga tetapi juga memastikan kesejahteraan mereka serta ekonomi negara turut diberikan keutamaan.

    Perkara itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam sesi perkongsian semasa Persidangan Kesihatan Awam Digital ASEAN ke-2 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa semasa pandemik berkenaan, negara telah membuat pelaburan yang amat besar dalam membiayai penjagaan kesihatan, membantu perniagaan yang terjejas serta melindungi pekerjaan.

    Kita telah memperoleh banyak pengajaran daripada pandemik itu, di mana salah satu daripadanya adalah untuk tidak membazirkan apa yang telah kita laburkan, katanya lagi.

    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua ketika sesi pengongsian – Gambar oleh Muiz Matdani

    Pada masa yang sama, beliau juga mengongsikan pandemik telah mempercepatkan perjalanan pendigitalan Brunei di mana bukan sahaja teknologi digital membantu menangani penularan COVID-19 tetapi ia juga memainkan peranan penting dalam kehidupan harian.

    Persidangan yang dihoskan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Kesihatan itu berlangsung secara hibrid, selama dua hari bermula
    hari ini.

    Ia mengetengahkan pembentangan daripada lebih 50 pembentang unggul termasuk menteri-menteri kewangan dan kesihatan ASEAN, penggubal dasar, pegawai-pegawai kesihatan awam, pakar-pakar pelbagai disiplin serta pemimpin-pemimpin industri dan organisasi bukan kerajaan.

    Dengan membawa tema Health and Healthcare Beyond COVID-19: Building Forward Together, ia dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan bagi kerajaan dan industri untuk menyelaras, melabur dalam dan bekerjasama serantau bagi pencegahan dan kesiapsiagaan penyakit yang lebih baik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...