Manfaatkan platform digital

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Usahawan dalam kalangan anak muda yang mendominasi 40 peratus daripada keseluruhan populasi negara ini, mempunyai kuasa besar dalam perniagaan hari ini untuk memanfaatkan platform digital dalam memenuhi permintaan pengguna.

Platform baharu ini dilihat seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan ekonomi digital sebagai pemacu dalam pembangunan negara.

“Ia merupakan langkah relevan dalam mengendalikan perniagaan dan pemasaran kerana kebanyakan kita mempunyai satu atau dua telefon pintar, segalanya boleh dilakukan dengan alat ini.

“Mereka boleh menggunakan pemasaran digital di platform e-dagang untuk mencapai pasaran lebih luas. Oleh itu kita harus memanfaatkan teknologi ini.

“Ia bukan sahaja boleh meningkatkan pertumbunan pendapatan negara, malah kita juga boleh meluaskannya di luar Malaysia dan memasuki pasaran ASEAN, yang mempunyai 667 juta penduduk,” kata Presiden Persatuan Pedagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir kepada Bernama.

Katanya usahawan dalam kalangan generasi-Y kini berkuasa dan berpengaruh dalam menjana suasana perniagaan baharu menggunakan teknologi.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Google dan Temasek Holdings, pasaran e-dagang di Asia Tenggara dijangka bernilai AS$200 bilion menjelang 2025, manakala perdagangan mudah alih dijangka meningkatkan lagi pertumbuhan e-dagang memandangkan pengguna telefon pintar menyumbang lebih daripada 90 peratus pengguna Internet Asia Tenggara. – Bernama

Datuk Moehamad Izat Emir (kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Vidanuel, Yujin Jo (kanan) semasa pertemuan Perkongsian Perniagaan Korea Malaysia di Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama