NEW YORK – Aroma biji badam, biji bijan, lada dan rempah ratus dari sebuah restoran kecil di Brooklyn yang menyediakan 1,600 paun pes masakan poblano setiap hari jelas dapat dihidu oleh pengunjung yang berada di kawasan berdekatan.
Tiga generasi wanita Mexico yang menggayakan penutup rambut berwarna putih kelihatan cukup bersemangat memotong bawang, mengisar bahan masakan dan memanaskan minyak, sekali gus menandakan bahawa mereka sudah bersedia untuk memulakan tugas memasak secara berkumpulan.
“Banyak tugas yang perlu dilaksanakan,” jelas Damiana Bravo, seorang wanita berusia dalam lingkungan 80 tahun dan bertubuh kecil.
Golongan wanita tersebut telah mula bergiat aktif menghasilkan dan menjual pes masakan itu dengan mengikut resipi asli dari Mexico di New York sejak dari era 1970an.
Kini, sos berwarna gelap diperbuat daripada cili dan ramuan lain itu telah diedarkan di pasar raya dan restoran di sekitar New York, Pennsylvania, New Jersey, Connecticut dan North Carolina.



Proses penyediaan pes masakan yang dianggap sebagai satu makanan ruji dalam budaya Mexico itu setentunya merupakan satu proses yang agak rumit dan memerlukan tahap kesabaran tinggi.
Proses pembakaran lada, badam dan mengisar bijan serta memasak gabungan bahan yang terdiri daripada coklat, gula, kayu manis, kacang tanah dan herba lain itu biasanya mengambil masa selama dua hari.
Tahun demi tahun, perniagaan secara turun-temurun itu telah beroperasi di Knickerbocker Avenue dengan menggunakan resipi warisan dari ibu Bravo dari Piaxtla, sebuah bandar yang hanya memiliki seramai 5,000 orang penduduk di Puebla.
Bravo, dua orang anak perempuannya dan dua orang cucu perempuannya tetap mengekalkan penggunaan lada pasilla dan mulato sebagai bahan utama.
Dari situ, rasa pes yang seimbang di mana ia tidak terlalu pedas dan tidak manis menjadi kegemaran kepada ramai warga Mexico berjaya dihasilkan.
Menurut data kerajaan Mexico, terdapat kira-kira sejuta orang berketurunan Mexico yang bermastautin di New York, New Jersey dan Connecticut di mana ada di antaranya yang berasal dari bandar Puebla.


“Ketika pertama kali menikmati pes itu ada kalanya saya terimbau kembali kenangan sewaktu masih berada di zaman kanak-kanak,” jelas Arturo Leonar, seorang pelanggan yang telah membeli pes keluaran Bravo itu sejak 12 tahun lalu bagi kegunaan bahan masakan di Restoran Chavelas di Brooklyn yang dimilikinya.
Bravo berhijrah ke AS dari Piaxtla pada sekitar tahun 1970an dan pada tahun 1980, tiga orang anak perempuannya dan dua orang cucu perempuannya juga telah bergiat aktif dalam mewarisi kemahirannya itu di New York.
Kadar pengeluaran produk pes itu jelas kelihatan meningkat sejak 15 tahun lalu, ketika dua orang cucu perempuannya, Sally dan Canny Rojas mula mempromosikan perniagaan itu kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan turut meningkatkan lagi teknik pengedarannya.
Kini, kaum lelaki dari keluarga yang terdiri dari dua cucu lelaki Bravo itu juga telah mula menceburi bidang pembuatan sos termasuk dari segi mengaduk pes di dalam periuk dan suami Sally juga turut membantu dalam melakukan proses penghantaran pes itu kepada para klien.
Baru-baru ini, pes masakan dari Mexico ini terus berjaya mendapat perhatian apabila ia turut ditampilkan dalam sebuah siri telenovela berbahasa Sepanyol.



Dalam telenovela itu, jelas memperlihatkan adegan kegigihan sekumpulan wanita dalam menyediakan pes masakan itu dan dihantar ke New York.
Adegan yang dipertontonkan itu juga berjaya menarik minat ramai pengunjung untuk menikmati sendiri keenakan pes tersebut dengan membelinya dari Bravo.
Bravo telah melekatkan pelekat yang berlabel ‘Mole Poblano Asuncion Corp’ pada setiap botol pes yang dipasarkan itu pada harga AS$6.50 bagi botol kecil dan AS$162.50 bagi pes seberat 25 paun.
“Setentunya kami berasa bangga terhadap sambutan yang cukup menggalakkan ini. Saya juga berasa bahawa perniagaan ini secara tidak langsung telah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami memandangkan ia telah menuntut kami untuk berkumpul bersama setiap hari demi untuk menghasilkan pes tersebut,” jelas Candida Fuentes, yang juga merupakan salah seorang anak perempuan Bravo.
Keluarga Bravo juga menggelar pes itu sebagai ‘La Asuncion’ sebagai penghormatan kepada Piaxtla dan terus berharap untuk mengembangluaskan perniagaan itu serta turut menjualnya secara online.
“Sebelum ini, saya pernah bekerja di salun kecantikan dan telah meninggalkan kerjaya itu kira-kira 10 tahun lalu untuk bersama-sama mengusahakan perniagaan ini. Ternyata saya tidak menyesal untuk melakukan keputusan itu,” jelas Sally Rojas, 35. – AP