Manfaatkan teknologi, atasi cabaran masa kini

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-4 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog.

Sidang kemuncak tersebut berlangsung secara maya melalui persidangan video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-4 itu, Baginda bertitah bahawa tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 bagi Hubungan Dialog ASEAN-Rusia, yang juga bertepatan dengan ulang tahun ke-30 hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia. Menyedari akan keperluan untuk manfaatkan dan menggunakan teknologi baharu dalam mengatasi cabaran-cabaran pada masa kini, Baginda bertitah menggalakkan untuk perkongsian kepakaran dan amalan-amalan terbaik dalam bidang inovasi, sains dan teknologi bagi membolehkan rakyat yang siap siaga masa depan. Di samping itu, Baginda juga mengalu-alukan penetapan tahun 2022 sebagai Tahun Kerjasama Saintifik dan Teknikal ASEAN-Rusia.

Baginda juga mengambil maklum bahawa pandemik menekankan keperluan bagi semua negara untuk berusaha melalui proses pelbagai hala demi mencapai matlamat yang sama, sambil bertitah menyatakan bahawa proses yang diterajui oleh ASEAN telah menyediakan landasan untuk penglibatan yang membina antara negara-negara.

Dalam titah Baginda turut merumuskan dengan menyatakan kepercayaan bahawa ASEAN dan Rusia akan dapat membina perkongsian kukuh dan berkekalan yang akan terus berkembang pada tahun-tahun mendatang. Sementara itu, Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin dalam ucapannya menekankan, hubungan ASEAN-Rusia adalah bersifat strategik, ditunjukkan melalui pengalaman yang banyak terkumpul dalam kerjasama dan perjanjian-perjanjian dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kemanusiaan.

Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Sen, kemudiannya menyampaikan ASEAN Common Statement selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-Rusia yang menggalakkan membina perkongsian erat dan teguh untuk menangani isu-isu yang sama. Dalam sidang kemuncak itu, para pemimpin turut menyokong pengukuhan penglibatan ASEAN-Rusia dalam memastikan pelaksanaan strategi pemulihan pascapandemik yang berkesan.

Dalam hal ini, para pemimpin menggalakkan untuk mempertingkatkan kerjasama dalam keselamatan siber, kesalinghubungan maritim, teknologi digital, bandar pintar, sains, teknologi dan inovasi dan pengurusan bencana. Para pemimpin juga mengalu-alukan usaha Rusia dalam memberikan tindak balas terhadap pandemik COVID-19 melalui pengedaran vaksin Sputnik V dan latihan pakar kesihatan.

Baginda Sultan semasa berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-4 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog secara maya, kelmarin. – Gambar Serahan Host Photo