Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Manfaatkan teknologi, inovasi Industri 4.0

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Kemunculan teknologi baharu telah merubah bukan sahaja cara hidup tetapi juga cara melakukan perniagaan dan pada masa ini, dunia sedang memasuki revolusi industri keempat yang menyaksikan penggabungan teknologi yang mengaburi garisan antara ruang nyata dan alam maya.

    Teknologi-teknologi baharu seperti blockchain, artificial intelligence (AI), data besar (big data) dan Internet of Things (IoT) telah mengembangkan dan merubah dunia, jelas Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak dalam kata alu-aluannya semasa Forum Masa Hadapan Pintar yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian forum berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku pengerusi AITI, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli autoriti AITI, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil-wakil daripada sektor swasta.

    Pengiran Haji Mohd Zain berkata lagi bahawa perniagaan dilihat sudah mula merangkul data besar untuk mendapatkan serta menganalisis tingkah laku pelanggan mereka dan mengintegrasikan AI, robot canggih, realiti bertambah (AR) serta realiti maya (VR) bagi menawarkan tahap pengamalan yang tersendiri bagi pelanggan-pelanggan mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib dan Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa menghadiri forum tersebut.
    Konesh Kochhal semasa menyampaikan ucaptamanya.

    Mengulas mengenai forum tersebut, Pengiran Haji Mohd Zain berkata, forum yang membawa tema ‘Inovasi menerusi Teknologi Baharu’ itu bermatlamat untuk meneroka bagaimana teknologi boleh digunakan mempromosikan inovasi dalam pelbagai kaedah.

    Forum itu diharap dapat membantu para peserta untuk merancang strategi inovasi masing-masing, menilai sumber mereka dan menentukan teknologi yang ada yang dapat membantu mereka mencapai matlamat masing-masing.

    “Inovasi mungkin akan mengambil masa tetapi pertumbuhan teknologi sedang membuka pintu bagi eksperimentasi kreatif untuk berlaku,” jelasnya lagi.

    Penganjuran forum itu, ulas Pengiran Haji Mohd Zain, merupakan usaha AITI ke arah menyumbang dan memainkan peranan dalam pembangunan Negara Pintar di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam hubungan itu, AITI akan terus menubuhkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang relevan serta pemain industri untuk memanfaatkan teknologi dan mempromosikan inovasi dalam usaha masa hadapan pintar bagi meningkatkan lagi perkhidmatan awam dan memperbaiki kualiti hidup.

    Semasa forum berkenaan, Pengarah Penglibatan Ekosistem Industri, Pemasaran Rantau Pasifik Selatan, Huawei Technologies Sdn Bhd, Konesh Kochhal dalam ucaptama bertajuk ‘Landskap Global Bagi Negara Pintar, Ekonomi Digital dan Industri 4.0’, menekankan bahawa dengan kebanyakan penduduk sesebuah negara tinggal di kawasan bandar raya dan meningkatnya penggunaan teknologi dalam kehidupan, tidak dinafikan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan serta perdagangan iaitu ekonomi digital akan terus memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

    Forum dua hari itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat dan peluang-peluang yang wujud untuk menerajui pembangunan digital dan inovasi di Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga merupakan pelantar yang bernilai untuk berkongsi idea dan pendekatan, membangunkan dan membentangkan pengalaman serta ilmu pengetahuan dalam menyokong inisiatif-inisiatif negara pintar dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan penuh di Brunei.

    Forum itu mengetengahkan penceramah dan pembentang pakar dari dalam negara dan organisasi antarabangsa termasuk Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Pusat Rangkaian Maklumat Asia Pasifik (APNIC), Pejabat Kerajaan Digital dan Negara Pintar Singapura (SNDGO), Autoriti Pembangunan Media Info-Komunikasi (IMDA), Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan termasuk TelBru, DST dan Progresif, penceramah-penceramah daripada pemain industri seperti Huawei Technologies Sdn Bhd dan Ericsson, Universiti Brunei Darussalam dan Madgrow Tech Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda