KUALA LUMPUR, 7 OKT – Malaysia mahu memanfaatkan usaha sama dengan China dalam sektor teknologi khususnya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata tatkala perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan protes di Hong Kong berlarutan, lebih banyak firma teknologi daripada negara berkenaan berminat untuk mengembangkan operasi ke ASEAN, yang menawarkan perkhidmatan kepada pasaran 640 juta pengguna.
“Tiada tempat yang lebih baik seperti Malaysia untuk mereka mendedahkan diri mereka kepada ekosistem negara yang rancak,” katanya pada pertandingan akhir Inovasi & Keusahawanan Perdana Global China atau IPIEC Global 2019 – peringkat ASEAN hari ini.
Selain itu, katanya platform IPIEC menawarkan peluang besar kepada usahawan untuk menerokai pasaran China dengan sokongan kerajaan.
Platform teknovasi China untuk harta intelek dan penyedia perkhidmatan korporat WTOIP Global ialah penganjur pertandingan itu.
Pertandingan akhir peringkat ASEAN diadakan dengan kerjasama Yayasan BETA, Taman Teknologi Malaysia (TPM) dan iOli Communications. – Bernama


































