Manfaatkan Venue Sukma 2020

KOTA TINGGI, 20 JULAI – Kerajaan Negeri Johor berharap venue Sukan Malaysia (Sukma) 2020 akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan sukan negeri dan tidak menjadi projek gajah putih selepas berakhirnya penganjuran sukan dwi tahunan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata antara venue yang boleh dimanfaatkan selepas tamatnya temasya Sukma 2020 adalah Pusat Pelayaran, Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara  (KRMSAU) Desaru di sini.

“Kita harap pihak berkuasa tempatan, kelab atau persatuan pelayaran yang terdapat di negara ini dan penganjur aktiviti sukan udara dapat merancang pelbagai penganjuran sukan berkaitan di peringkat tempatan dan antarabangsa di lokasi ini,” katanya semasa melawat pusat berkenaan petang malam.

Beliau berkata pelantar berupa ‘pontoon’ mudah alih yang direka khas menjadikan KRMSAU sebagai yang terbesar di Malaysia jika dibandingkan dengan  yang serupa  di Langkawi mahupun di peringkat Asia Tenggara. – Bernama