Manfred Knof pengerusi baharu Commerzbank

BERLIN, 27 SEPT – Commerzbank, bank kedua terbesar Jerman yang telah dibelenggu pandemik koronavirus dan skandal Wirecard, semalam menamakan Manfred Knof dari pemberi pinjaman pesaing Bank Deutsche sebagai pengerusi baharunya.

Pelantikan itu merupakan satu usaha untuk menamatkan krisis selepas Martin Zielke meletak jawatan pada awal Julai, berikutan kritikan oleh pemegang saham tentang prestasinya dan kerugian yang dicatat bank.

Knof, 55, ialah ketua runcit Bank Deutsche di Jerman tetapi menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam perniagaan insurans, bekerja untuk syarikat gergasi Jerman Allianz. Pelantikan Knof tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa penyelia.

“Manfred Knof ialah pengurus kanan yang berpengalaman dan efektif yang telah membuktikan dirinya dalam pelbagai tugas dalam industri perkhidmatan kewangan,” kata Jans-Joerg Vetter, pengerusi lembaga penyelia Commerzbank.

“Beliau akan membawa kepakaran dan kemahiran kepimpinan manusia untuk tugas baharu dalam bank.” Kerajaan Jerman memegang 16 peratus saham dalam bank yang dijaminnya selepas krisis kewangan pada 2008.

Commerzbank mencatat kerugian berjumlah 175 juta euro berhubung ‘satu kes,’ yang menurut Financial Times merupakan pinjaman yang dibuat untuk pembekal bayaran Wirecard, yang jatuh muflis pada Jun dalam apa yang disifatkan oleh menteri kewangan Jerman sebagai skandal paling buruk. – AFP