Mangkat pada usia 98 tahun

LUXEMBOURG, 23 April – Grand Duke Jean, Luxembourg yang memerintah negaranya selama 36 tahun sebelum turun takhta pada tahun 2000, mangkat pada usia 98 tahun, isytihar puteranya, Henri hari ini.

Grand Duke telah dimasukkan ke hospital awal bulan ini kerana jangkitan paru-paru.

“Dengan rasa yang amat sedih saya memaklumkan kemangkatan ayahanda tercinta saya, Royal Highness Grand Duke Jean yang mangkat dengan tenang, dikelilingi keluarga,” Grand Duke Henri yang menggantikan ayahandanya dalam majlis beristiadat pada tahun 2000, memaklumkan dalam satu kenyataan.

Penduduk Luxembourg amat menyayangi Jean yang pernah menjadi tentera dalam tentera Britain ketika Perang Dunia Kedua dan terlibat dalam pendaratan D-Day.

“Pemergiannya adalah kehilangan besar bagi Grand Duchy dan bagi Eropah,” Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker yang juga bekas perdana menteri negara itu yang mempunyai penduduk kira-kira 600,000 orang yang diapit antara Belgium, Perancis dan Jerman, menyatakan melalui Twitter.

Gambar fail yang diambil pada 19 November 1999 menunjukkan Grand Duchess of Luxembourg Josephine-Charlotte bersama suaminya Grand Duke Jean semasa melawat pameran ulang tahun Carolus di Gent’s Saint-Pierre/Sint-Pieters Abbey. – AFP

Kali terakhir Jean dilihat di khalayak ramai adalah pada akhir Mac lalu pada satu forum yang dianjurkan oleh anak menantu perempuannya Grand Duchess Maria Teresa untuk menentang keganasan seksual di zon-zon perang.

Diputerakan pada 5 Januari 1921, Jean de Luzembourg adalah putera kepada Grand Duchess Charlotte, Luxembourg dan Putera Felix de Bourbon dari Parma.

Selepas tamat pengajian di Luxembourg dan Britain, pewaris takhta ini menyertai Irish Guards dalam tahun 1942, sebuah unit tentera Britain.

Grand Duke kemudian telah berkahwin dengan Putera Josephine-Charlotte dari Bel-gium, kakanda kepada bekas raja Belgium Baudouin dan Albert II dalam tahun 1953. Puteri Josephine-Charlotte meninggal dunia pada Januari 2005.

Pasangan ini telah dikurniakan lima orang anak iaitu Marie-Astrid, Henri, Jean, Margaretha dan Guillaume.

Jean menjadi Grand Duke dan selepas ibundanya turun takhta pada tahun 1964. – AFP