Mangkhut menggila, ribuan mula dipindahkan

MANILA, 13 Sept – Pemindahan awal penduduk di kawasan bandar pantai dan kampung-kampung sedang dilakukan sebagai persediaan menghadapi Taufan Mangkhut, menurut jurucakap kerajaan tempatan Filipina selepas taufan itu diumumkan bergerak ke arah negara itu dengan membawa hujan lebat serta angin kencang.

Banjir, runtuhan tanah dan kerosakan angin akibat ribut yang akan datang merupakan kebimbangan utama tatkala pihak berkuasa menyediakan peralatan untuk operasi menyelamat dan membantu.

Sekolah ditutup dan beberapa petani turun ke ladang untuk memulakan penuaian jagung dan padi yang mungkin dimusnahkan oleh banjir.

Kira-kira 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun, membunuh beratus orang dan meninggalkan berjuta-juta orang hidup dalam kemiskinan.

Seorang penduduk di Candon City, utara Manila mengikat atap rumahnya pada sepohon pokok kelmarin sebagai persediaan menghadapi Taufan Mangkhut. – AFP

Ribut paling teruk yang dicatat di negara adalah Taufan Besar Haiyan, yang menyebabkan lebih 7,350 orang terbunuh atau hilang di seluruh kawasan tengah Filipina pada November 2013. Perkhidmatan cuaca negeri berkata Mangkhut akan menjadi taufan paling kuat setakat ini pada tahun ini, dengan kelajuan angin 205 kilometer sejam.

Sementara itu, Hong Kong sedang bersiap sedia menghadapi taufan sama yang diramal membadai hujung minggu ini dan mungkin menjadi taufan tropika terkuat untuk tempoh beberapa dekad, lapor Xinhua. – AFP/Bernama