Mangsa banjir di Indonesia meningkat

JAKARTA, INDONESIA, 15 JULAI – Anggota penyelamat hari ini meneruskan operasi pencarian 23 orang yang masih hilang selepas hujan lebat melanda wilayah selatan Sulawesi, Indonesia, sekali gus menyebabkan air sungai melimpah keluar dan merosakkan ribuan rumah penduduk tempatan.

Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban, kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Raditya Jati.

Banjir itu menjejaskan lebih dari 4,000 penduduk dari enam kawasan di Luwu Utara.

“Jalan di wilayah berkenaan dilitupi lumpur dan menghalang akses ke pusat kawalan utama dan kawasan yang terjejas,” kata Jati.

Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat di Indonesia, di mana berjuta-juta orang tinggal di kawasan pergunungan atau berhampiran dataran banjir.

Angka kematian akibat banjir kilat di wilayah selatan Sulawesi Indonesia meningkat kepada 21 orang pada hari ini dengan beberapa orang lagi masih hilang, kata seorang pegawai.

Seramai 2,650 orang telah dipindahkan, di mana 10 orang mengalami kecederaan, tambahnya.

Sementara itu menurut pegawai daerah Luwu Utara, Indah Putri Indriani, banjir bermula Isnin petang yang dicetuskan oleh hujan lebat dan menyebabkan air di tiga sungai melimpah keluar.

Indonesia sering kali mengalami bencana banjir berikutan dengan sistem pengaliran yang kurang memuaskan, terutama sekali ketika musim hujan yang telah menjejaskan ribuan penduduk dan kediaman di negara itu. – AP

Kereta ditenggelami air dan lumpur dilihat di kawasan dilanda banjir di Masamba, wilayah selatan Sulawesi, Indonesia. Anggota penyelamat meneruskan operasi pencarian 23 orang yang masih hilang selepas hujan lebat melanda wilayah selatan Sulawesi, Indonesia. – AP