Mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat

KUALA LUMPUR, 13 JAN – Ketika negara bergelut mengekang penularan kes baharu pandemik COVID-19 yang ketika ini mencecah empat angka, mangsa banjir di Sabah dan Sarawak dilihat semakin meningkat.

Jika semalam Sabah menjadi negeri baharu dilanda bencana itu, hari ini Sarawak dilaporkan menjadi negeri terbaharu berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, sehingga esok.

Sementara itu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu turut meningkat mendadak kepada 358 orang petang tadi berbanding 32 orang pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu di Dewan Rekreasi Bimajaya, Dewan Serbaguna Taman Malihah, Rumah Kedai Batu Kawa dan Dewan Serbaguna Kampung Batu 1.

Penduduk kampung kelihatan menggunakan sampan untuk memindahkan barang-barang elektrik ketika tinjauan di Kampung Rantau Panjang di Batu Kawa, Kuching, kelmarin. – Bernama

Manakala di Sabah, mangsa banjir dilaporkan meningkat kepada 1,054 orang yang ditempatkan di lapan PPS iaitu di Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang dan Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan dan setakat hari ini tiada hujan diramal berlaku.

Bagaimanapun, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 km/jam dengan ombak melebihi 4.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak yang boleh menyebabkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit. – Bernama