Mangsa banjir di Sabah kekal 36 orang

KOTA KINABALU, 2 JULAI – Jumlah mangsa banjir di Sabah yang masih ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal 36 mangsa daripada lapan keluarga setakat 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan hanya satu PPS di Daerah Kota Belud masih dibuka.

“Manakala semua PPS lain telah ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang kerana keadaan banjir yang telah pulih,” katanya.

Sebelum ini sebanyak 11 daerah dan melibatkan 152 kampung di Sabah terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat Sabtu lepas, namun kini keadaan banjir hampir pulih sepenuhnya. – Bernama

Salah satu kawasan yang terjejas akibat banjir di Kota Kinabalu. Jumlah mangsa banjir di Sabah yang masih ditempatkan di sebuah PPS kekal 36 mangsa daripada lapan keluarga setakat ini. – Bernama