KOTA KINABALU, 22 Jan – Jumlah mangsa banjir dari tiga daerahyang dilanda banjir meningkat kepada 616 orang sehingga jam 6.10 petang tadi berbanding 514 orang pada 4 petang.
Di Kota Marudu, sebanyak 346 mangsa daripada 82 keluarga masih berada di pusat pemindahan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan manakala 35 orang daripada 25 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir Dewan Pusat Latihan Pertanian Damai.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah KolMulliadi Al-Hamdi Ladin berkata sebanyak 39 orang dari daerah kecil Paitan dalam daerah Beluran masih berada di Dewan Kampung Binsulung.
Katanya lapan mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Batangon di daerah kecil Paitan turut ditempatkan di Dewan Kampung Kubambangan selepas kampung mereka dilanda banjir.
Di daerah Pitas, sebanyak 35 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan SK Salimpodon manakala 59 orang daripada 18 keluarga berada di pusat pemindahan Dewan SK Rukom.
Pusat penempatan banjir di Dewan SK Pekan Pitas 2, yang dibuka hari ini pula dihuni 94 orang mangsa daripada 45 keluarga. – Bernama