Mangsa banjir meningkat

KUALA LUMPUR, 4 NOV – Mangsa banjir di Kedah terus meningkat pada petang ini apabila sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Daerah Kota Setar manakala banjir di Melaka pula pulih sepenuhnya apabila satu-satunya PPS di Durian Tunggal ditutup.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata angka keseluruhan mangsa banjir setakat 4 petang ini me-ningkat kepada 932 orang berbanding 823 orang pada sebelah pagi.

Beliau berkata di Kota Setar, PPS yang baharu dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent telah menempatkan seramai 69 orang daripada 21 keluarga mangsa banjir.

“Enam lagi PPS sedia ada yang masih beroperasi di Kota Setar iaitu SK (Sekolah Kebangsaan) Langgar, SK Suka Menanti, SK Darul Hikmah, SK Haji Wahab, SK Convent dan SK Titi Gajah menempatkan seramai 455 mangsa banjir daripada 156 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama

Penduduk di kawasan Taman Tanjung Bendahara di Kedah mengambil langkah selamat dengan memindahkan ahli keluarga mereka ke rumah saudara yang terdekat selepas kawasan rumah mereka dinaiki air disebabkan limpahan air dari Sungai kedah yang turut menjejaskan beberapa buah rumah sejak empat hari lalu ketika tinjauan keadaan banjir. – Bernama