Mangsa banjir Sarawak terus meningkat

KUALA LUMPUR, 15 JAN – Situasi banjir di Pahang, Johor dan Sabah kian pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan, namun di Sarawak, mangsa banjir dilaporkan terus meningkat pada petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya berkata sebanyak 50 PPS masih beroperasi di enam daerah yang dilanda banjir sejak Rabu lepas.

Seramai 121 lagi mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu setakat 4 petang ini, menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang ditempatkan di pusat berkenaan meningkat kepada 4,343 orang.

Daerah Kuching mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,238 orang di 21 PPS, diikuti Serian (1,015 orang di 10 PPS), Bau (747 orang di 31 PPS), Samarahan (211 orang di lima PPS), Simunjan (103 orang di dua PPS) dan Miri (29 orang di dua
PPS).

Di Pahang, keadaan banjir di Lipis dan Jerantut pulih sepenuhnya apabila tiga PPS terakhir di daerah itu ditutup, tengah hari tadi.

Di Johor pula jumlah mangsa banjir hanya tinggal 93 orang melibatkan 23 keluarga, berada di dua PPS di Segamat dan Batu Pahat setakat 3.30 petang ini, berbanding 784 orang melibatkan 245 keluarga, di 10 PPS di lima daerah, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata cuaca yang cerah sejak pagi membolehkan rata-rata mangsa banjir pulang ke rumah secara berperingkat sehingga 3 petang tadi.

Sementara itu, situasi sama turut berlaku di Sabah apabila jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan dengan mendadak kepada 313 orang daripada 84 keluarga berbanding 761 orang daripada 198 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan memberitahu semua mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah negeri ini iaitu Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan. – Bernama

Penduduk Kampung Aceh, Pekan di Pahang, mendayung sampan ketika meninggalkan pekarangan masjid selepas menunaikan solat Jumaat, kelmarin. – Bernama