Mangsa banjir sukar didekati penyelamat

KUMA, JEPUN, 9 JULAI – Pasukan penyelamat dan tentera Jepun yang bertungkus lumus menjalankan operasi menyelamat hari ini menempuh kesukaran mendekati kawasan perumahan terjejas akibat banjir besar dan tanah runtuh yang sudah mengakibatkan puluhan korban dan kemusnahan teruk.

Di kawasan tarikan pelancong di Gifu di tengah Jepun, para pegawai berkata tanah runtuh dan banjir telah mengakibatkan hampir 1,000 isi rumah terperangkap – atau melebihi 2,300 orang.

Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun berkata, ribuan keluarga terperangkap berikutan kenaikan paras air di samping jalan raya musnah akibat tanah runtuh dengan kebanyakannya berlaku di wilayah barat daya Kumamoto yang teruk dilanda hujan lebat.

Hujan yang bermula di barat daya pada pagi Sabtu sudah mengakibatkan kemusnahan besar seluruh negara berikutan limpahan air sungai susulan hujan lebat berterusan.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, hujan lebat dijangka berterusan hingga 12 Julai ini membabitkan kebanyakan tempat di negara itu, seterusnya memberi amaran kepada penduduk supaya lebih berjaga-jaga berikutan risiko tanah runtuh dan banjir di kawasan rendah.

Seorang lelaki dilihat membuang barang-barang yang rosak akibat banjir dari sebuah rumah selepas hujan lebat dan banjir melanda Hitoyoshi, wilayah Kumamoto, kelmarin. – AFP

JMA kini sudah mengeluarkan perintah pengosongan kediaman kali kedua membabitkan lebih 450,000 mangsa, di mana arahan itu bukan wajib berikutan ramai penduduk enggan ke pusat perlindungan yang dikhuatiri mengakibatkan jangkitan COVID-19.

Setakat ini, 55 orang dilaporkan terkorban dan empat lagi dikhuatiri meninggal dunia.

Jepun sudah mengerahkan sekurang-kurangnya 80,000 anggota penyelamat untuk operasi menyelamatkan mangsa dengan dibantu 10,000 tentera, namun sukar berikutan wabak COVID-19 yang meragut hampir 1,000 nyawa dan lebih 20,000 kes positif. Sukarelawan dari luar Kumamoto dilarang melakukan perjalanan ke wilayah itu berikutan kebimbangan menyebarkan virus terbabit.

Jepun berada di pertengahan musim hujan tahunan dan sering mengalami banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan kemusnahan. Bencana itu dijangka berterusan hingga ke beberapa minggu lagi.

Tetapi di wilayah Kumamoto yang paling teruk terjejas, perhatian beralih kepada operasi pembersihan setelah dilanda hujan lebat.

Seorang wartawan AFP di daerah itu melihat sebahagian jalan runtuh ke sungai, dan kebanyakan rumah turut musnah akibat hujan lebat. – AFP