Mangsa bencana alam terima bantuan JAPEM

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) hari ini menyerahkan bantuan kewangan kepada sebuah keluarga yang terlibat dalam bencana alam pada 18 Julai lalu di Kampung Buda-Buda, Daerah Temburong.

Majlis penyerahan bantuan melalui peruntukan JAPEM kepada keluarga terlibat bencana atap terbang itu berlangsung di Bilik Kunjungan, Tingkat 8, Bangunan KKBS disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin kepada mangsa bencana, Dayang Siti Hawa binti Haji Kamis.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid. Kejadian angin kencang pada 18 Julai sekitar jam 4:30 petang itu telah menerbangkan atap depan rumah milik Dayang Siti Hawa di Kampung Buda-Buda, Daerah Temburong.

Bantuan bertujuan meringankan kesusahan dialami mangsa bencana agar mereka boleh meneruskan kehidupan seharian dengan lebih selesa, sekali gus menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan ke atas rakyatnya yang mengalami musibah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyerahkan cek bantuan kepada Dayang Siti Hawa pada majlis tersebut. – Gambar serahan KKBS