Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Bagi membantu meringankan beban mangsa bencana dalam meneruskan kehidupan harian, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah $38,100 kepada lapan buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan bencana alam di seluruh negara, baru-baru ini.
Hadir menyampaikan sumbangan kepada ketua-ketua keluarga berkenaan pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, hari ini, ialah Pemangku Pengarah Urusan dan ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman.
Penerima bantuan yang terdiri daripada mangsa kebakaran rumah ialah Pengiran Shahdir bin Pengiran Haji Mohd Tahir, Lim Ajan, Dayang Masnah binti Haji Jumat, Haji Julahi bin Haji Tuah, Haji Mohd Khairul bin Haji Emran dan Dayang Noridah binti Haji Jalil.
Manakala itu, penerima bantuan musibah bencana alam ialah Pengiran Siti Hawa binti Pengiran Salleh dan Hajah Chuchu binti Haji Abdullah.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah penolong pengarah urusan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.
