Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Tiga orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Daerah Temburong, seorang ketua keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah dan seorang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah condong atau roboh di Daerah Brunei dan Muara telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), kelmarin.
Majlis penyerahan bantuan telah diadakan di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) di mana bantuan disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Para penerima ialah Hajah Rosnah binti Haji Sulaiman yang rumah miliknya di Kampung Setia A mengalami condong dan tidak selamat untuk didiami lagi. Penghuni rumah telah pun diarahkan untuk mengosongkan rumah tersebut sejak Oktober 2021 dan bekalan elektrik juga dipotong untuk keselamatan kawasan sekitarnya.
Manakala itu, hujan lebat yang berterusan pada 20 Mac yang lalu telah menjejaskan kawasan rendah di sekitar Kampung Parit, Temburong dan menyebabkan limpahan air memasuki rumah Wong Liang Sey, Semuil anak Abet dan rumah Pan Nyek Fah melebihi paras satu kaki.
Manakala kejadian kebakaran rumah yang berlaku sekitar pukul 8:18 malam pada 2 April lalu telah meranapkan keseluruhan rumah milik Haji Rosli bin Haji Bakar di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Katok B.
Pemberian bantuan kewangan tersebut adalah untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian.
Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.