Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Sumbangan berjumlah $10,750 telah diberikan kepada 18 ketua keluarga yang menjadi mangsa bencana di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara pada Disember 2019 dan Januari 2020.
Penyampaian sumbangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu telah diadakan di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei dan Muara, JAPEM, hari ini.
Hadir menyampaikan bantuan kewangan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ke majlis ini ialah pegawai-pegawai kanan di KKBS, JAPEM dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Para penerima bantuan terdiri daripada 14 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Kampung Kapok, Kampung Serasa, Kampung Kilanas dan Kampung Batong serta empat orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Pengiran Bendahara Lama.
Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui KKBS sentiasa prihatin dan mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Baginda lebih-lebih lagi kepada mereka yang ditimpa musibah.
“Ini jelas terbukti dari bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan Baginda kepada mangsa bencana bukan sahaja bantuan yang berbentuk ‘in-kind’ seperti makanan, minuman,barang-barang asasi dan tempat perlindungan sementara, malahan bantuan kewangan turut dihulurkan kepada mangsa yang berkelayakan demi membantu meringankan beban dan kesusahan yang mereka hadapi,” jelasnya.
Beliau juga menekankan bahawa bantuan kewangan yang dihulurkan oleh kerajaan bukanlah semata-mata untuk mengganti rugi kerosakan atau kehilangan harta benda akibat bencana akan tetapi untuk membantu meringankan kesusahan yang dihadapi oleh mangsa.





























