Mangsa bencana terima sumbangan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Sejumlah $29,800 telah disumbangkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian bencana di Daerah Brunei dan Muara.

Penyampaian sumbangan kepada 22 orang ketua dan wakil keluarga yang terlibat berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada majlis yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Pengurusan, Strategi dan Dasar) di KKBS, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin OKSSP Dato Paduka Haji Mohd Tahir serta penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang berkenaan.

Sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu meringankan beban mereka yang terlibat dalam bencana berkenaan.

Dayang Rostinah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa seramai 18 orang penerima terdiri daripada mangsa bencana banjir yang berlaku pada 28 April dan 2 Jun lalu, seorang penerima merupakan mangsa bencana kebakaran rumah yang berlaku pada 30 Jun di Kampung Junjongan dan tiga orang penerima terdiri daripada mangsa bencana rumah roboh yang berlaku pada 26 Jun dan 6 Julai.

Jelas beliau, bantuan kewangan yang dihulurkan oleh kerajaan bukanlah semata-mata untuk mengganti rugi kerosakan atau kehilangan harta benda akibat bencana, akan tetapi untuk membantu meringankan kesusahan yang dihadapi oleh mangsa.

“Pihak kementerian menyedari bahawa pengagihan bantuan kewangan ini amatlah perlu dilaksanakan dengan sesegera kepada mangsa-mangsa yang terlibat, maka pada masa ini pihak KKBS melalui JAPEM sedang berusaha untuk mengemas kini proses penyiasatan dan proses pembayaran agar ianya cepat diserahkan dan diberikan kepada mangsa-mangsa yang berkelayakan,” jelas Dayang Rostinah.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menyampaikan bantuan kewangan kerajaan kepada salah seorang mangsa kejadian bencana.