TOKYO, 9 DIS – Sekumpulan mangsa bom atom Jepun, mewakili organisasi pemenang Anugerah Keamanan Nobel Nihon Hidankyo, berlepas dari Tokyo pada Ahad menuju ke Oslo untuk menghadiri majlis penganugerahan itu, lapor agensi berita Kyodo.
Terumi Tanaka, wakil Gabungan Organisasi Mangsa Bom Atom dan Hidrogen Jepun (Hidankyo), yang akan menyampaikan ucapan pada majlis itu pada Selasa berkata sebelum berlepas, “Saya ingin bercakap mengenai perjuangan mangsa yang secara konsisten menuntut pemansuhan senjata nuklear.”
Delegasi itu terdiri daripada 30 orang, termasuk 17 mangsa bom atom dari Jepun dan negara lain, menurut Hidankyo.
Hidankyo, yang ditubuhkan lebih sedekad selepas pengeboman atom oleh Amerika Syarikat (AS) di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, menerima anugerah tersebut tahun ini ‘atas usahanya mencapai dunia bebas senjata nuklear dan membuktikan melalui kesaksian bahawa senjata nuklear tidak boleh digunakan lagi,’ menurut Jawatankuasa Nobel Norway.
Delegasi Hidankyo turut merancang untuk berkongsi kisah pengeboman itu di sekolah tinggi dan universiti tempatan sebelum pulang dari negara Nordik itu pada Khamis.
Bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki mengorbankan masing-masing kira-kira 140,000 dan 74,000 orang menjelang akhir 1945.
Jepun menyerah kalah enam hari selepas pengeboman di Nagasaki, sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua. – Bernama