Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa culik warga Australia dibebaskan

    SYDNEY, 15 Mac – Seorang wanita Australia yang diculik di Afghanistan pada tahun lalu telah dibebaskan, kata pegawai hari ini.

    The Australian Broadcasting Corporation berkata wanita itu adalah pekerja bantuan yang diculik pada November tahun lalu di ibu negara Afghan Kabul, dilaporkan dengan senapang diacukan kepadanya.

    “Seorang wanita Australia yang diculik di Afghanistan telah dibebaskan,” kata jabatan hal ehwal luar negeri dalam satu kenyataan, mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa di Afghanistan atas sokongan dan bantuan mereka.

    “Keluarganya mengalu-alu kepulangannya dan meminta media supaya menghormati privasi mereka pada masa ini.”

    Australia mengingatkan rakyatnya supaya jangan berkunjung ke Afghanistan, berkata dalam makluman terbarunya pada bulan lalu bahawa “pekerja bantuan, wartawan dan pekerja syarikat asing mungkin menjadi sasaran penculikan.”

    “Jangan berkunjung ke Afghanistan disebabkan situasi keselamatan yang amat berbahaya dan ancaman serangan pengganas yang amat tinggi,” tambahnya.

    Pada Ogos lalu, seorang pekerja bantuan Australia, Katherine Jane Wilson, diselamatkan oleh pasukan khas Afghan.

    Beliau telah diculik oleh lelaki bersenjata bertopeng yang tidak dikenali dari Jalalabad berhampiran sempadan dengan Pakistan empat bulan sebelum itu.

    Sekurang-kurangnya seorang warga Australia masih dijadikan tebusan, Timothy Weekes, profesor di Universiti Amerika Afghanistan, yang diculik pada Ogos lalu bersama seorang rakan sekerja Amerika.

    Kedua-dua mereka muncul dalam video tebusan Taliban pada Januari, bukti pertama bahawa mereka masih hidup. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda