Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Kemalangan dua buah kenderaan yang berlaku sekitar jam 2 petang di kawasan lampu isyarat lalu lintas Telanai, kelmarin, telah meragut nyawa seorang penumpang yang dipercayai salah satu puncanya adalah akibat rempuhan pelanggaran tersebut.
Mangsa merupakan seorang lelaki berumur 50 tahun dan sempat dikejarkan ke Hospital RIPAS setelah kemalangan berlaku serta diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas.
Siasatan awal daripada keanggotaan Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mendapati pemandu dalam perjalanan ke Hospital RIPAS bagi membawa penumpang (mangsa yang maut) yang sedang dalam keadaan kecemasan iaitu mengalami serangan asma dan sesak nafas yang teruk.
Kejadian kemalangan berlaku di kawasan lampu isyarat lalu lintas Telanai, Daerah Brunei dan Muara, apabila kenderaan yang dipandu dalam perjalanan dari Jalan Katok menghala ke Jalan Telanai.
Kenderaan berkenaan dipercayai melanggar lampu isyarat lalu lintas yang sedang bernyala merah mengakibatkan rempuhan ke atas kenderaan yang lain yang sedang menuju dari Jalan Beribi hala ke Jalan Jangsak.
Walau bagaimanapun, punca kemalangan dan kematian masih dalam siasatan pihak polis.
PPDB menegaskan kepada orang ramai untuk menanamkan sifat penyabar dan sentiasa bersifat berhemah semasa memandu.
Pemandu-pemandu juga disarankan untuk tidak memandang ringan dan mengambil tindakan tergesa-gesa tanpa memperdulikan keselamatan orang lain demi kebaikan semua pengguna jalan raya.
