Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Mangsa diheret buaya ditemui

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Mayat seorang remaja lelaki tempatan yang dipercayai diheret oleh buaya semasa merambat di kawasan Jalan Mulaut, Kampung Bebatik telah berjaya ditemui kira-kira pukul 9:45 malam, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, empat orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh ASO Metusin bin Haji Menudin dan lima orang anggota bomba dan penyelamat dari Skuad Khas Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh ABK 670 Amir Hassan bin Haji Bidin, telah dikejarkan ke kawasan kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa di kawasan Jalan Mulaut, Kampung Bebatik pada pukul 6:04 petang.

    Mangsa dikatakan sedang merambat bersama tiga rakannya di kawasan tebing sungai itu semasa kejadian, namun rambat mangsa telah tersangkut.

    Mangsa kemudiannya turun ke dalam sungai namun hilang dan dipercayai diheret seekor buaya.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak mencari dan menyelamat mangsa di sepanjang tebing sungai kawasan berkenaan bersama orang awam.

    Pada pukul 9:45 malam, anggota bomba dan penyelamat menerima maklumat daripada orang awam yang mana mangsa telah dijumpai di kawasan Lubok Sigurun lebih kurang 1.5 kilometer mengikut laluan sungai dari tempat kejadian.

    Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei dan paramedik Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk tindakan selanjutnya.

    JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai supaya sentiasa peka dan berwaspada ketika membuat aktiviti di kawasan sungai serta mengambil maklum jika berada berhampiran kawasan yang telah dipasangkan papan tanda amaran keberadaan buaya yang telah disediakan oleh Jabatan Perhutanan.

    Orang ramai juga disarankan supaya menghubungi talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang insiden kecemasan dan memberikan maklumat yang tepat.

    Mangsa yang dipercayai diheret oleh seekor buaya semasa merambat di kawasan Jalan Mulaut, Kampung Bebatik berjaya ditemui pada pukul 9:45 malam pada 19 April. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...