Mangsa ilmu hitam

“Saya kena kuat melawan ujian ini. Apa juga yang terjadi, saya perlu lihat kembali dalam diri kerana mungkin saya juga ada melakukan kesilapan. Tidak sewajarnya saya menuding jari kepada orang lain apabila berdepan dugaan dalam hidup,” kata pelakon Remy Ishak.

Mengulas perkongsiannya menerusi video secara langsung di Instagram, baru-baru ini, Remy, 37, yang mendakwa dirinya menjadi mangsa ilmu hitam berkata, dia perlu bangkit melawan gangguan itu.

“Saya masih dalam rawatan dan apabila membabitkan perkara seperti ini, mental serta fizikal kita perlu kuat. Mungkin saya nampak seperti tiada apa-apa, namun ia sebenarnya mengambil masa untuk pulih. Sebelum ini, saya buntu apa sebenarnya berlaku dalam diri. Sangkakan saya mengalami depresi kerana apabila bersendirian, terutama selepas Subuh dan Asar, saya tiba-tiba menjadi lemah. Saya mencuba pelbagai kaedah rawatan moden dan alternatif, namun selepas bertemu dengan seorang ustaz, baru saya sedar terkena ilmu hitam,” kata pelakon filem Sangkar itu.

Remy yang bakal muncul dengan drama bersiri Ombak Rindu untuk siaran Iflix bermula 5 Disember ini berkata, dia masih lagi bercuti, sebelum kembali ke lokasi penggambaran pada akhir bulan ini. Remy pada pertengahan bulan lalu menerusi Instagram membuat pengakuan, dia sering melakukan perkara bukan atas kehendaknya, selain cepat marah dan berfikiran negatif hingga takut keluar rumah.

Perubahan itu disedari keluarganya dan mereka menasihatkannya supaya bertemu pengamal perubatan Islam, selain mendapatkan rawatan moden. – Agensi

Remy yang bakal muncul dengan drama bersiri Ombak Rindu untuk siaran Iflix bermula 5 Disember ini. – Agensi