Mangsa kebakaran di Kampung Subok terima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Mangsa bencana kebakaran yang berlaku di Kampung Subok pada 7 Ogos lalu telah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri

Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis penyerahan bantuan berkenaan berlangsung di Bilik Kunjungan, KKBS di sini, hari ini di mana Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyerahkan bantuan kepada Dayang Tiah binti Haji Yussof selaku ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut.

Majlis penyerahan bantuan berkenaan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari JAPEM.

Pemberian bantuan kewangan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan bantuan kewangan kepada ketua keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah.