Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sebuah keluarga yang menjadi mangsa kejadian kebakaran rumah telah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini.
Majlis penyerahan bantuan kepada ketua keluarga berkenaan, Pengiran Hajah Jabaidah binti Pengiran Haji Umar telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad di Bilik Kunjungan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Kejadian kebakaran di Kampung Pasai itu berlaku pada 27 Ogos lalu sekitar pukul 8:15 malam dan telah meranapkan keseluruhan rumah jenis dua tingkat, bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku.
Bantuan kewangan berkenaan dihasratkan untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami bagi meneruskan kehidupan seharian.
Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.