Mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Mangsa bencana kebakaran rumah yang berlaku di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Katok B, Daerah Brunei dan Muara pada 22 Julai lalu mendapat perhatian apabila menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis penyerahan bantuan berkenaan telah diadakan di Bilik Kunjungan KKBS, di sini, hari ini, di mana bantuan kewangan telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin kepada ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut. Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari JAPEM.

Pemberian bantuan kewangan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan sumbangan derma kepada mangsa kebakaran.